Menurutnya, antara insiden yang dilaporkan ialah pembakaran bendera di DUN Palong (N06) malam semalam dan kerosakan pancang bendera di DUN Chembong (N31) pagi ini.

SEREMBAN –  Pakatan Harapan (PH) menggesa semua pihak menghentikan politik kebencian sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, susulan beberapa insiden kerosakan bahan kempen yang dilaporkan berlaku di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jabatan Pilihan Raya Harapan berkata, Bilik Gerakan Utama Harapan sejak semalam menerima beberapa laporan membabitkan perbuatan khianat terhadap bahan kempen pilihan raya.

Menurutnya, antara insiden yang dilaporkan ialah pembakaran bendera di DUN Palong (N06) malam semalam dan kerosakan pancang bendera di DUN Chembong (N31) pagi ini.

“Harapan berhak mengambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan sekiranya terbukti bahan kempen seperti poster, bendera atau sepanduk dikhianati, dirosakkan atau diturunkan oleh pihak lawan kerana tindakan itu merupakan satu kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Harapan berkata pihaknya tidak berniat menuding jari kepada mana-mana pihak setakat ini, namun Pengarah Pilihan Raya Bilik Gerakan DUN yang terlibat telah dinasihatkan supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Menurut kenyataan itu, insiden berkenaan tidak seharusnya menjadi budaya dalam kalangan penggiat politik kerana ia hanya mencemarkan proses demokrasi.

Sehubungan itu, Harapan turut mengingatkan seluruh anggota dan jenteranya supaya tidak membalas sebarang perbuatan khianat yang mungkin dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

“Harapan berharap seluruh anggota dan jentera tidak membalas semula perbuatan ini yang mungkin dilakukan oleh pihak yang mahu mengeruhkan keadaan.

“Berkempenlah secara sihat kerana hak untuk berpolitik dan berkempen dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan melalui peruntukan berkaitan kebebasan asasi serta hak politik rakyat,” tegasnya.

Harapan turut menggesa semua parti yang bertanding memenangi hati pengundi menerusi tawaran dasar dan polisi yang jelas, bukannya dengan politik kebencian atau perbuatan khianat yang boleh menjejaskan keharmonian sepanjang tempoh berkempen. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast