Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan yang juga calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun (tiga kiri) bergambar bersama Timbalan Ketua Cabang Keadilan Port Dickson, Datuk Kenny Chiew (dua kiri), calon PH N.29 Chuah, Datuk Yew Boon Lye (kiri) dan calon PH N.33 Sri Tanjung, Datuk Dr G Rajasekaran pada sidang media situasi sebenar keputusan pencalonan DUN Chuah, di Hotel Mulyo, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 20 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Datuk Seri Aminuddin Harun yang menerajui Pakatan Harapan (PH) telah merekodkan pentadbiran kerajaan negeri paling cemerlang dalam sejarah Menteri Besar Negeri Sembilan.

Calon (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Datuk Dr Rajasekaran Gunnasekaran berkata, ia dibuktikan menerusi kejayaan pimpinan kerajaan negeri itu mendapat pelaburan tertinggi di bawah Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Menurut penyandang DUN itu, Aminuddin juga berjaya menonjol kepimpinan luar biasa apabila menarik pelaburan baharu menerusi rancangan pembinaan pelabuhan baharu, Midport yang berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI) di Pasir Panjang di sini.

“Dalam pimpinan beliau, Menteri Besar Tok Min (Aminuddin), kerajaan negeri mendapat pelaburan yang paling tertinggi dalam sejarah Negeri Sembilan. Kita pun akan mendapat pelabuhan baharu yang berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Selain itu juga, kehadiran (pelaburan ) Google dan salah satu syarikat farmaseutikal yang terbesar di rantau ASEAN ini di Spring Hill.

“Ini baharu sahaja di kawasan Port Dickson dan belum pelaburan tempat lain seperti di kawasan Labu. Seperti pelabuhan AI ini, ia akan menjamin peluang pekerjaan yang banyak untuk anak-anak muda tempat di Port Dickson.

“Jadi semua projek ini akan  memberi impak yang positif dan kita harap kerajaan negeri yang stabil dengan kepemimpinan yang cekap, integriti, bertanggungjawab dan  amanah akan dikekalkan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Calon PH N.33 Sri Tanjung, Datuk Dr G Rajasekaran bercakap ketika ditemubual selepas hadir pada sidang media situasi sebenar keputusan pencalonan DUN Chuah, di Hotel Mulyo, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 20 JULAI 2026.

Pada 14 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Pelabuhan Midport di Pasir Panjang, Port Dickson.

Pembinaan pelabuhan baharu yang berteraskan teknologi AI merupakan pemangkin utama yang bakal mengubah landskap ekonomi kawasan itu, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia.

Projek berkenaan bukan sahaja melibatkan pembangunan sebuah pelabuhan baharu malah turut disokong dengan pembangunan kawasan perindustrian seluas 1,400 ekar yang dijangka menarik kemasukan pelaburan serta mewujudkan ekosistem ekonomi baharu di sekitar Port Dickson.

Fasa pertama AI Port itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, sekali gus menjadi antara projek strategik yang akan mencorakkan pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan pada masa hadapan.

Pada masa sama, Google iaitu syarikat gergasi teknologi antarabangsa yang menyediakan perkhidmatan berkaitan internet, enjin carian, perisian, dan AI turut melabur RM1 bilion untuk pembangunan pusat data khusus di Port Dickson.

Projek itu merupakan sebahagian daripadan komitmen pelaburan sebanyak RM9.4 bilion di Malaysia yang diumumkan tahun 2024.

Ia merangkumi pembangunan pusat data pertamanya dan wilayah Google Cloud untuk memenuhi permintaan meningkat terhadap perkhidmatan awan pada peringkat tempatan dan global serta program literasi AI untuk pelajar dan pendidik di negara ini.

Calon PH N.33 Sri Tanjung, Datuk Dr G Rajasekaran pada sidang media situasi sebenar keputusan pencalonan DUN Chuah, di Hotel Mulyo, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 20 JULAI 2026.

Mengulas lanjut, Rajasekaran berkata, semua projek baharu itu dijangka memberi limpahan ekonomi besar kepada penduduk tempatan, khususnya anak muda, menerusi peluang pekerjaan baharu yang bakal diwujudkan apabila pembangunan tersebut berkembang.

“Ini akan memberi pelaburan tertinggi demi kesejahteraan rakyat dan peluang pekerjaan akan terjamin. Sebab itu pengundi di Negeri Sembilanm harus mengekalkan Pakatan Harapan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 pada 1 Ogos ini, Rajasekaran akan berdepan saingan lima penjuru calon dari Barisan Nasional (BN),  A Achutan dan M Leevineshwaraan mewakili Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Turut bertanding, A. Saravanan dan Islah Wahyudi Zainudi, masing-masing calon Bebas.

PRN15 yang diadakan 2023 menyaksikan Rajasekaran memenangi kerusi DUN Sri Tanjung dengan majoriti 3,996 undi.

Sri Tanjung antara lima DUN yang terletak di bawah Parlimen Port Dickson merupakan kerusi campuran dengan komposisi pengundi terdiri daripada Melayu sebanyak 37.2 peratus, Cina (31.5 peratus) dan India pula 28.3 peratus.

Pada pilihan raya kali ini, seramai 19,590 pemilih berdaftar layak mengundi di kawasan itu.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast