Manivannan menyantuni pengundi pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, di Taman Sri Rompin, Jempol, Negeri Sembilan, hari ini.

JEMPOL – Usaha membawa lebih banyak pembangunan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang memerlukan kerjasama erat melalui persefahaman yang sealiran antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Calon Pakatan Harapan (PH) DUN itu, G. Manivannan yang menggunakan analogi, ‘tepuk dua belah tangan baru berbunyi’ berkata, amat penting kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan sealiran untuk pembangunan dan kebajikan rakyat.

Beliau berkata, usaha membawa lebih banyak pembangunan dan menyelesaikan isu rakyat tidak akan berjaya sekiranya hanya bergantung kepada satu pihak sahaja.

“Memang kena selari dan ramai tahu saya mempunyai hubungan yang baik dengan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan saya juga adalah Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR, jadi kiri pun bagus, kanan pun bagus.

“Bila tepuk dua-dua tangan baru ada bunyi, tepuk sebelah tangan mana ada bunyi sebab itu mana-mana negeri yang maju, mana-mana rakyatnya maju adalah disebabkan gabungan di antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

G Manivannan

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Kapar berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, di Taman Sri Rompin, di sini petang tadi.

Sehubungan itu, jelasnya, hubungan baik yang dimilikinya dengan kepimpinan negeri dan Persekutuan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperjuangkan keperluan penduduk Jeram Padang jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Mengulas perkembangan kempen, beliau berkata, sepanjang tiga hari berkempen beliau telah menyantuni pengundi di beberapa kawasan termasuk Palong, Rompin, Bukit Rokan Barat serta kampung Orang Asli.

Katanya, antara isu utama yang dibangkitkan penduduk ialah gangguan bekalan air di Taman Sri Rompin yang disifatkan berlaku secara tidak menentu.

Selain isu air, beliau turut mengenal pasti aspek kebajikan golongan warga emas dan veteran sebagai antara keutamaan yang perlu ditangani melalui pendekatan turun padang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast