SEREMBAN – Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Seremban Jaya, Datuk Thinalan T. Rajagopalu mahu menjadikan agenda memperkukuhkan perpaduan antara kaum sebagai teras kempennya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau berkata, sokongan rakyat tidak seharusnya dipengaruhi sentimen perkauman, sebaliknya calon perlu dinilai berdasarkan kemampuan membawa suara dan menyelesaikan masalah penduduk.
“Saya mahu membina semula semangat silaturahim dan perpaduan antara masyarakat Melayu, Cina dan India. Dulu semangat itu cukup kuat tetapi hari ini ia semakin berkurangan. Saya mahu mengukuhkannya semula,” katanya.

Menurut beliau, Seremban Jaya yang mempunyai masyarakat berbilang kaum memerlukan pendekatan politik yang menyatukan rakyat bukan memecah-belahkan mereka sepanjang tempoh kempen PRN.
Katanya, pilihan raya sepatutnya menjadi medan menawarkan khidmat dan penyelesaian kepada rakyat dan tidak mengapi-apikan sentimen kaum atau politik kepartian.
Beliau berkata, pengalaman BN pada PRN Johor membuktikan pengundi semakin matang apabila memberikan sokongan merentasi kaum kepada calon yang diyakini mampu berkhidmat.
“Di Johor, kita melihat calon India di Perling dan Bukit Batu menerima sokongan daripada pengundi Melayu, Cina dan India. Itu membuktikan rakyat boleh bersatu dan membuat pilihan berdasarkan keupayaan calon.
“Walaupun komposisi pengundinya pelbagai, mereka tetap memberikan sokongan. Itu yang saya mahu lihat berlaku di Seremban Jaya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Thinalan, kejayaan tersebut menunjukkan perpaduan antara kaum masih boleh diperkukuhkan sekiranya semua pihak mengetepikan perbezaan politik dan memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat.
Beliau berkata, sebagai calon BN, beliau mahu mendekati setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama atau fahaman politik bagi memahami isu yang dihadapi penduduk.
“Pada akhirnya, rakyat mahukan wakil rakyat yang bekerja untuk mereka. Saya yakin jika kita mengutamakan perpaduan dan sentiasa turun padang mendengar masalah rakyat, sokongan itu akan datang dengan sendiri,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















