Calon Pakatan Harapan (PH) N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad menyantuni seorang pengundi ketika berkempen rumah ke rumah di Taman Pinang Gading, Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Isu penyelenggaraan infrastruktur termasuk sistem perparitan antara aduan utama diterima calon Pakatan Harapan (PH) N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad sepanjang empat hari berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau berkata, kebanyakan aduan diterima membabitkan masalah setempat yang memerlukan tindakan penyelenggaraan dan bukan isu berskala besar.

“Aduan memang ada diterima sepanjang kempen. Namun setakat ini tiada isu besar. Kebanyakannya berkaitan infrastruktur seperti longkang dan penyelenggaraan,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas berkempen rumah ke rumah di Taman Pinang Gading, di sini, hari ini.

Menurut beliau, sebahagian daripada aduan itu sedang dalam proses tindakan manakala ada yang mungkin terlepas pandang sebelum ini.

“Kawasan Seremban yang semakin matang memerlukan penyelenggaraan berterusan supaya kemudahan awam sentiasa berada dalam keadaan baik,” katanya.

Katanya, kerja penyelenggaraan perlu dilakukan secara lebih proaktif tanpa menunggu kerosakan menjadi lebih serius.

“Kita perlu melihat keadaan kemudahan awam lebih awal. Jangan tunggu rosak baru hendak dibaiki.

“Perancangan penyelenggaraan perlu dibuat mengikut kemampuan kewangan pihak berkuasa tempatan dan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Nor Azman Mohamad memuji semua pihak kerana kempen PRN Negeri Sembilan yang kini memasuki hari keempat berjalan di kawasan itu berlangsung dalam keadaan harmoni tanpa sebarang insiden vandalisme atau provokasi.

“Sepanjang empat hari berkempen, beliau tidak menerima laporan mengenai bahan kempen yang dibakar atau dirosakkan.

“Setakat ini di Sikamat saya nampak tiada perkara seperti itu berlaku. Semua calon dan penyokong masing-masing berkempen dengan penuh hikmah,” katanya.

Menurut beliau, suasana kempen yang tenang membolehkan semua pihak memberi tumpuan kepada usaha menyampaikan dasar dan tawaran kepada rakyat.

“Saya berharap budaya politik matang seperti itu dapat dikekalkan sehingga hari pengundian.

“Persaingan pilihan raya seharusnya berlangsung secara sihat dan menghormati semua pihak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast