Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan yang juga calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun bercakap pada sidang media situasi sebenar keputusan pencalonan DUN Chuah, di Hotel Mulyo, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 20 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menyelar pihak yang melakukan sabotaj dengan merosakkan bahan kempen calon Pakatan Harapan (PH) seperti yang dilaporkan berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu.

Menurutnya yang juga calon PH DUN Linggi, setiap parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ketika ini sepatutnya mengekalkan integriti dan berkempen secara baik.

“Kita dalam negeri yang beradab, dan beradat, jadi saya harap patuhilah peraturan.

“Saya harap semua masyarakat dapat melihat dan menilai apa yang dilakukan oleh ahli parti ini (yang melakukan sabotaj),” katanya kepada pemberita.

Semalam, calon PH DUN Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak mendakwa papan tanda (billboard) bahan kempennya cuba dibakar dalam kejadian awal pagi.

Beliau berkata, kejadian itu hanya diketahuinya selepas menerima maklumat menerusi aplikasi WhatsApp sejurus selesai menunaikan solat Subuh.

Foto: Media sosial

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Aminuddin yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan menafikan parti itu khususnya di Cabang Port Dickson sedang berdepan perpecahan dalaman.

Katanya, dakwaan yang tular kononnya terdapat pemimpin PKR Cabang Port Dickson yang tidak berpuas hati selepas tidak dicalonkan pada PRN kali ini adalah tidak berasas dan sengaja diperbesar-besarkan khususnya di media sosial.

Malah, ujarnya, kedua-dua pemimpin yang dikaitkan dengan dakwaan itu iaitu Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Port Dickson, Datuk Kenny Chiew Chi Kin dan calon PH DUN Chuah, Datuk Yew Boon Lye bersama-sama tampil memberikan penjelasan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Kenny yang bersungguh-sungguh sejak beberapa hari lepas, memberi penerangan kepada semua jentera, terutamanya kepada penyokong kita berhubung dakwaan ini.

“Pertemuan-pertemuan ini amat bermakna bagi kita dan kita nak tutup keseluruhan cerita-cerita yang seolah-olah mahu menggambarkan ada perpecahan di DUN Chua dan di sebahagian DUN Sri Tanjung,” katanya.

Ditanya sama ada dakwaan itu sebagai tindakan terdesak pihak lawan, Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR Pusat bagaimana enggan membuat sebarang tuduhan.

“Dalam menghadapi pilihan raya, mestilah ada banyak perkara yang berlaku, tetapi bagi kami di Pakatan Harapan, kita kena menerangkan situasi sebenar bagi menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan antara kami.

“Dan saya yakin Datuk Kenny sebagai Timbalan Ketua Cabang juga mahukan kemenangan buat keseluruhan calon-calon daripada Pakatan Harapan, bukan saja di DUN Chuah dan DUN Sri Tanjung, tetapi di seluruh Negeri Sembilan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast