Romel Morales. Foto FB Terengganu FC.

KUALA LUMPUR – Penyerang naturaliasi kebangsaan, Romel Morales sah menjadi milik Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) 2026/2027 bagi menambah lagi sengat jentera serangan skuad kendalian Nafuzi Zain.

Pemain berusia 29 tahun yang bakal bergandingan dengan penyerang skuad Piala Dunia 2026 Curacao, Gervane Kastaneer sebelum ini menyarung jersi kelab gergasi Liga M, Johor Darul Ta’zim (JDT) musim lalu.

Morales antara watak penting skuad negara dalam saingan Piala Asia 2023 dan dia mengikat kontrak selama semusim sehingga Mei 2027 bersama TFC dengan memakai jersi bernombor 19.

“Kehadirannya mencerminkan komitmen berterusan kelab dalam memperkasakan barisan pemain dengan gabungan pengalaman, kualiti serta karakter yang mampu memberikan impak positif di padang.

“Sebagai antara penyerang yang berpengalaman dalam kancah bola sepak tempatan dan antarabangsa, Morales dijangka menjadi aset penting dalam memperkukuhkan jentera serangan pasukan sekali gus membantu pasukan merealisasikan sasaran yang ditetapkan sepanjang musim ini.

“Harap pemain itu mampu memberikan sumbangan terbaik demi kejayaan pasukan sepanjang musim 2026/2027,” demikian menurut kenyataan media rasmi kelab itu hari ini.

Bermula 2021 sehingga 2023, pemain berketinggian 1.87 meter (m) itu menjadi senjata pemusnah pasukan Kuala Lumpur City FC selepas meledak 18 jaringan menerusi 60 penampilan sebelum diumumkan sebagai pemain naturalisasi pada Disember 2023.

Musim 2024, pemain yang pernah menyarung jersi kelab Argentina, River Plate itu mengubah haluan bersama kelab JDT sehingga musim 2025/2026 dan berjaya menjaringkan 10 gol menerusi 19 penampilannya bersama kelab gergasi Liga M itu.

Sepanjang 14 penampilannya bersama skuad Harimau Malaya, pemain itu berjaya menjaringkan empat gol termasuk di pentas Piala Asia 2023 dengan meledak gol penyamaan Harimau Malaya ketika mengikat Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir Kumpulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast