Datuk Saiful Yazan Sulaiman Bentang lima iltizam untuk lima tahun akan datang jika diberikan mandat.

JOHOL – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman membentangkan lima iltizam yang disifatkannya sebagai kompas pembangunan Johol bagi tempoh lima tahun akan datang, sekiranya terus diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Penyandang DUN Johol itu berkata, lima iltizam berteraskan ilmu, kemudahan, kasih, rezeki dan warisan bukan sekadar manifesto pilihan raya, sebaliknya kesinambungan kepada usaha yang telah dimulakan sepanjang beliau mewakili kawasan berkenaan.

Menurutnya, tempoh pentadbiran sebelum ini yang berlangsung kira-kira dua tahun lapan bulan menyebabkan masih banyak perancangan belum sempat dilaksanakan sepenuhnya, justeru beliau mahu meneruskan agenda pembangunan yang telah dirangka.

“Kita tidak mahu sekadar berjanji ketika musim pilihan raya.

“Apa yang dibentangkan adalah hala tuju yang jelas untuk memastikan Johol terus bergerak ke hadapan dengan pembangunan yang seimbang, tanpa ada kelompok masyarakat yang tercicir,” katanya baru-baru ini.

Calon Johol mengadakan walkabout dengan penduduk setempat.

Beliau berkata, iltizam ilmu akan terus menjadi keutamaan kerana pembangunan sesebuah kawasan perlu bermula dengan melahirkan generasi yang berilmu dan berkemahiran.

Katanya, selain memperluaskan program tuisyen, bimbingan akademik serta bantuan pendidikan, anak-anak Johol juga perlu dipersiapkan dengan kemahiran digital, asas kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan latihan kerjaya agar mampu bersaing dalam ekonomi baharu.

“Anak-anak kita bukan sahaja perlu lulus peperiksaan, tetapi mesti bersedia menghadapi dunia pekerjaan yang semakin berubah. Mereka perlu mempunyai kemahiran yang diperlukan pada masa depan,” ujarnya.

Mengulas iltizam kemudahan, Saiful Yazan berkata, usaha menaik taraf jalan kampung, lampu jalan, longkang, dewan, padang, kemudahan sekolah, internet dan infrastruktur asas akan diteruskan secara berfasa mengikut keperluan setempat.

Beliau berkata, pendekatan itu akan dilaksanakan secara realistik dengan setiap aduan direkod, dipantau dan diperjuangkan sehingga selesai.

 

“Saya tidak mahu memberikan janji yang indah didengar tetapi sukar dilaksanakan. Yang penting ialah setiap masalah rakyat diberi perhatian dan diselesaikan secara berperingkat,” tambahnya.

Dalam aspek kebajikan pula, beliau mahu memperkukuhkan program ziarah kasih menerusi penyediaan pangkalan data yang lebih tersusun melibatkan warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal, pesakit serta keluarga yang memerlukan supaya bantuan dapat disalurkan dengan lebih cepat dan tepat.

Menurutnya, Johol mempunyai potensi besar untuk menjana ekonomi luar bandar sekiranya tanah-tanah yang terbiar dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Beliau berkata, usaha memperluaskan pertanian moden, memperkasa produk desa, membantu perusahaan kecil serta membuka lebih banyak peluang dalam ekonomi digital akan menjadi antara fokus utama bagi meningkatkan pendapatan penduduk.

“Anak muda perlu melihat pertanian dan keusahawanan sebagai kerjaya yang mempunyai masa depan. Kita mahu lebih ramai anak Johol berjaya membina kehidupan di kampung sendiri tanpa perlu berhijrah semata-mata mencari rezeki,” katanya.

Saiful Yazan berkata, iltizam warisan pula akan memastikan institusi adat terus dihormati dan dipelihara sebagai identiti Johol, namun dalam masa sama menjadi faktor yang menyatukan masyarakat, bukannya memecah-belahkan mereka.

“Kita mahu warisan menjadi payung yang menaungi masyarakat, akar yang menguatkan jati diri dan pedoman yang menyatukan semua.

“Kita mahu generasi muda mengenali asal-usul mereka, menghormati adat yang diwarisi, tetapi pada masa sama mempunyai keberanian dan keupayaan untuk bersaing dalam dunia moden,” jelasnya.

Dalam PRN Negeri Sembilan kali ini, Saiful Yazan akan berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Zailan Mohd Munawar, dalam pertandingan satu lawan satu bagi kerusi DUN Johol. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast