Calon PH N.33, Datuk Dr G Rajasekaran ketika menyantuni orang ramai sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di sekitar Pekan Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 21 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Pengundi Negeri Sembilan perlu memahami kenapa Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan secara tiba-tiba sedangkan kerajaan negeri ini baru mentadbir selama tempoh dua tahun lebih.

Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Datuk Dr G. Rajasekaran berkata, apa yang berlaku bukan kehendak Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebaliknya berpunca di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengkhianati undi rakyat.

Jelas beliau, rekod cemerlang Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson juga seolah-olah tidak dihargai walaupun beliau berjaya meningkat rizab negeri lebih RM1 bilion.

“Kita dalam dua setengah tahun ni, rekod kita terbaik. Di bawah pimpinan Menteri Besar, simpanan kita sudah lebih RM1 bilion. Ini semua untuk rakyat.

“Tiba-tiba segelintir ADUN bersama dengan pemimpin mereka menarik sokongan kepada Menteri Besar dan melalui usaha itu mereka telah mengkhianati pengundi PH-BN (Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

“Sebab Kerajaan Perpaduan diwujudkan sebelum pilihan raya dan mereka pun dapat pengundi daripada PH juga. Sepatutnya mereka boleh bincang tetapi terus mereka tarik sokongan dan salam dengan pembangkang,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Calon PH N.33, Datuk Dr G Rajasekaran ketika menyantuni orang ramai sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di sekitar Pekan Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 21 JULAI 2026.

Sebelum ini, Aminuddin mengumumkan pembubaran DUN Negeri Sembilan berkuat kuasa pada 5 Jun lalu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pembubaran DUN itu bagi mengembalikan mandat kepada rakyat bagi menentukan hala tuju pentadbiran negeri melalui pilihan raya selepas ada pihak yang pada awalnya menyokong kerajaan negeri dan kemudian menarik balik sokongan.

PRN terakhir bagi Negeri Sembilan diadakan pada 12 Ogos 2023 yang menyaksikan PH memenangi 17 kerusi DUN diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 14 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) lima kerusi.

Ia menepati ramalan apabila gabungan PH dan BN membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan selepas mendapat majoriti dua pertiga apabila memenangi 31 kerusi selari dengan keputusan Kerajaan Perpaduan antara dua parti itu di peringkat pusat sebelum ini.

Negeri Sembilan sepatutnya mencapai tempoh matang maksimum penggal pada September 2028.

Calon PH N.33, Datuk Dr G Rajasekaran ketika menyantuni orang ramai sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di sekitar Pekan Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 21 JULAI 2026.

Mengulas lanjut, Rajasekaran berkata, apa yang dilakukan oleh segelintir ADUN yang menarik sokongan kepada Aminuddin menunjukan sikap pemimpin yang tiada integriti.

“Ini tak ada integriti dan bukan sifat seorang pemimpin yang sudah lama berkhidmat di mana mereka mungkin harus tahu apa yang patut dibuat.

“Jadi tidak patut tebuk atap atau pintu masuk belakang untuk pemimpin menjadi wakil rakyat,” katanya.

Sementara itu, Rajasekaran merupakan penyandang wakil rakyat di DUN Sri Tanjung selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-15 pada 2023 dengan majoriti 3,996 undi.

Pada 1 Ogos ini, beliau akan berdepan saingan lima penjuru calon dari Barisan Nasional (BN),  A Achutan dan M Leevineshwaraan mewakili Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi PRN16.

Turut bertanding, A. Saravanan dan Islah Wahyudi Zainudi, masing-masing calon Bebas. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast