SINGAPURA – Mahkamah Singapura menjatuhkan hukuman penjara lebih dua tahun terhadap seorang pelancong warga India selepas cubaan mencuri sebutir berlian dengan menyembunyikannya di dalam mulut rakannya.

Mangroliya Manojkumar Kurjibhai, 41, bersama seorang lagi suspek mengunjungi sebuah kedai barang kemas di Chinatown, Singapura pada 19 Jun lalu dengan sasaran mencuri sebutir berlian seberat 4.95 karat bernilai AS$154,000 (kira-kira RM720,000).

Menurut laporan media tempatan, Mangroliya mengalih perhatian pengurus kedai, manakala rakannya, Serasiya Milan Ramnikbhai, 30, didakwa menukar berlian asli itu dengan berlian tiruan yang disembunyikan di dalam mulutnya.

Kedua-duanya kemudian meninggalkan premis berkenaan tanpa membuat sebarang pembelian, dengan berlian sebenar dipercayai masih disorok di dalam mulut Serasiya.

Bagaimanapun, aksi mereka berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV), sebelum kedua-duanya diberkas di lapangan terbang pada hari yang sama.

Polis turut menemui semula berlian yang dicuri di dalam salah satu beg milik mereka.

Mangroliya dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun, dua bulan dan dua minggu selepas mengaku bersalah minggu lalu.

Sementara itu, Serasiya masih ditahan reman dan dijadualkan menghadiri prosiding mahkamah pada Jumaat ini.

Siasatan mendapati kedua-dua suspek telah menempah berlian tiruan di India yang mempunyai spesifikasi serta nombor siri sama seperti berlian sebenar sebelum berlepas ke Singapura.

Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum mengetahui bagaimana mereka memperoleh maklumat terperinci mengenai berlian tersebut lebih awal. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast