Pengundi Kampung Terusan, Zaimah Ahmad.

KUALA PILAH: Apa lagi rakyat mahu?

Persoalan itu dilontarkan seorang pengundi Kampung Terusan, DUN Juasseh, Zaimah Ahmad, 68, yang berharap pengundi terus memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan pentadbiran Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 1 Ogos ini.

Menurutnya, sepanjang PH mentadbir Negeri Sembilan sejak 2018 di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, pelbagai inisiatif dan bantuan telah dilaksanakan sehingga manfaatnya dirasai rakyat di peringkat akar umbi.

Katanya, rakyat perlu menilai rekod pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan termasuk usaha yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum membuat keputusan di peti undi.

“Saya memang marah bila ada orang asyik mempersoalkan macam-macam tetapi tidak menghargai segala bantuan dan kemudahan yang kerajaan sudah berikan. Mereka macam tidak sedar diri.

“Kita kena tahu menilai apa yang Anwar buat. Jangan sokong parti semata-mata tetapi tengok juga apa yang kerajaan sudah lakukan untuk rakyat.

“Cuba tengok rumah masing-masing. Di kawasan kami, banyak keluarga menerima bantuan. Ada yang dapat Sumbangan Asas Rahmah (SARA), ada yang menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan anak-anak pun menerima bantuan.

“Apa lagi rakyat mahu? Bantuan yang kerajaan bagi itu benar-benar membantu rakyat. Sebab itu jangan cepat lupa jasa kerajaan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Kampung Terusan di sini.

Dengan nada sedikit tinggi sambil beberapa kali menggelengkan kepala, Zaimah sukar memahami mengapa masih ada segelintir rakyat mendakwa kerajaan tidak membantu sedangkan pelbagai bentuk bantuan dan kemudahan telah dinikmati oleh masyarakat.

Beliau turut mengakui kos sara hidup menjadi cabaran kepada rakyat ketika ini namun berkata keadaan itu bukan hanya berlaku di Malaysia sebaliknya dipengaruhi perkembangan ekonomi dunia.

“Orang selalu cakap barang mahal tetapi mereka kena faham keadaan ekonomi dunia juga memberi kesan kepada negara kita. Bukan Malaysia sahaja berdepan situasi seperti ini.

“Bagi saya, kerajaan sudah berusaha membantu rakyat dengan pelbagai bentuk bantuan. Sebab itu saya harap pentadbiran PH di Negeri Sembilan diteruskan supaya lebih banyak usaha dapat dilaksanakan untuk rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata, sepanjang lapan tahun pentadbiran PH, pelbagai perubahan serta pembangunan dapat dilihat selain pelaksanaan pelbagai program kebajikan yang memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira kaum.

Katanya, pengundi perlu membuat pilihan berdasarkan prestasi dan hasil kerja bukan dipengaruhi sentimen politik semata-mata.

“Kalau kerajaan sudah bekerja dan membantu rakyat, berilah peluang mereka meneruskan usaha itu. Jangan asyik hendak tukar kerajaan. Nilailah berdasarkan apa yang sudah dibuat untuk rakyat,” tegasnya.

Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, DUN Juasseh menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon PH, Mohd Aidil Abdullah, calon BN, Datuk Ismail Lasim dan calon Bersatu, Mohd Zuhaimi Md Yusof pada 1 Ogos ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast