SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) berdepan ‘warna biru’ dan ‘warna merah’ dalam menentukan hala tuju pentadbiran serta pembangunan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, kata Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin.
Beliau berkata, rakyat perlu melihat rekod serta prestasi kerajaan yang memerintah sebelum membuat keputusan pada hari pengundian, terutama dalam menilai keadaan ekonomi negara di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, antara petunjuk yang boleh dilihat ialah prestasi ringgit yang didakwa antara mata wang terbaik Asia dalam tempoh 12 bulan lalu, selain peningkatan pelaburan langsung asing (FDI), pasaran saham serta kadar pengangguran yang kekal rendah.
“Apakah isu yang besar pada hari ini? Adakah isu agama, isu perkauman atau isu ekonomi? Sebahagian besar rakyat akan bertanya mengenai ekonomi.
“Hari ini, ringgit Malaysia merupakan antara mata wang paling kukuh di Asia. Ini membuktikan ekonomi negara kita berada dalam keadaan kukuh dan stabil,” katanya ketika berucap dalam satu ceramah di Negeri Sembilan.
Kee Chin berkata, perkembangan ekonomi berkenaan berlaku ketika Kerajaan Persekutuan diterajui PH, sambil menyindir pihak yang menggunakan simbol atau warna ‘biru’ dalam perbandingan politik.
“Pelaburan langsung asing kita terus meningkat dan mencatatkan rekod tertinggi di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan yang diterajui PH. Ini bukan di bawah kerajaan berwarna biru,” katanya.
Beliau turut membandingkan prestasi pasaran saham negara sebelum dan selepas Anwar menjadi Perdana Menteri, dengan mendakwa indeks pasaran saham meningkat daripada sekitar 1,500 mata kepada kira-kira 1,700 mata dalam tempoh tiga tahun.
“Sekarang, dalam tempoh tiga tahun, ia telah meningkat kepada sekitar 1,700 mata. Ini juga berlaku di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar dan kerajaan berwarna merah,” katanya.
Menurut Kee Chin, kadar inflasi yang berada sekitar 2.5 peratus dan kadar pengangguran kira-kira tiga peratus turut menunjukkan ekonomi negara berada pada kedudukan yang baik.
Katanya, lima petunjuk berkenaan iaitu prestasi ringgit, peningkatan FDI, kadar inflasi terkawal, peningkatan pasaran saham dan kadar pengangguran rendah perlu dinilai rakyat ketika menentukan sokongan politik.
“Lima perkara ini merupakan antara petunjuk penting yang perlu kita lihat kerana semuanya memberi kesan secara langsung kepada keadaan ekonomi negara.
“Sebab itu, saya menyeru supaya undilah Pakatan Harapan untuk memastikan ekonomi negara terus bergerak ke hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Kee Chin berkata, perkembangan di peringkat Persekutuan perlu diteruskan di Negeri Sembilan bagi memastikan ‘gelombang merah’ terus membawa pembangunan dan pertumbuhan ekonomi kepada negeri itu.
“Kerajaan Persekutuan sekarang diterajui oleh Pakatan Harapan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan Pengerusi Pakatan Harapan.
“Kita berharap ‘gelombang merah’ ini dapat terus bergerak dan membawa lebih banyak pembangunan serta memastikan ekonomi Negeri Sembilan menjadi lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette

















Rekod kencing n merompak harta negara adala. Habis semua aset negara dijual lelong, orang menambah harta tapi PH jual harta negara BODOH PH.