Pegawai JAS menjalankan siasatan di lokasi.

BANDAR BAHARU – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengarahkan sebuah kuari batu di Kampung Padang, Mukim Sungai Kechil di sini, menghentikan operasi serta-merta selepas didapati menjadi punca pencemaran air sungai hingga bertukar keruh.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan itu diambil susulan siasatan yang dijalankan semalam selepas pihaknya menerima aduan mengenai pencemaran air sungai di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati aduan berhubung air sungai yang keruh adalah berasas apabila kawalan mitigasi terhadap air larian permukaan (surface water run off) di kawasan kuari itu tidak dilaksanakan mengikut pelan mitigasi yang telah diluluskan.

“Siasatan mendapati air larian permukaan tidak memasuki longkang perimeter dan kolam mendapan, sebaliknya terus memasuki sungai berhampiran.

“Air daripada basuhan tayar lori juga terus memasuki sungai berhampiran sehingga menyebabkan air sungai menjadi keruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi kuari itu diarahkan dihentikan serta-merta.

Sharifah Zakiah berkata, arahan di lapangan telah dikeluarkan terhadap pengendali kuari selepas didapati melanggar beberapa syarat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

Katanya, tindakan itu akan disusuli dengan pengeluaran Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

“Sekiranya gagal mematuhi notis dalam tempoh yang ditetapkan, penggerak projek boleh dikenakan tindakan lanjut mengikut Seksyen 34A(7) AKAS 1974.

“Kesalahan itu memperuntukkan penalti antara RM100,000 hingga RM1 juta serta hukuman penjara mandatori sehingga lima tahun,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast