Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Santai Petang Warga Ampangan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Medan Selera Benteng Ampangan, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2026.

SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak akan berganjak daripada dasar melarang warga Israel masuk ke negara ini meskipun berdepan kritikan dan tekanan daripada beberapa pembuat undang-undang Amerika Syarikat (AS).

Katanya, Malaysia mempunyai hak sebagai sebuah negara berdaulat untuk menentukan dasar imigresennya sendiri, termasuk menghalang kemasukan mana-mana warga Israel.

Tambahan pula, pendirian Malaysia itu bukanlah dasar baharu, sebaliknya telah diamalkan secara konsisten sejak beberapa dekad sebagai manifestasi penolakan terhadap penjajahan, kekejaman dan pembunuhan berterusan yang dilakukan rejim Israel ke atas rakyat Palestin.

“Tentangan kita terhadap Israel adalah kerana kezaliman mereka, penjajahan mereka dan pembunuhan yang berlaku setiap hari.

“Mana mungkin kita memadamkan kenyataan mengenai pembunuhan kanak-kanak, wanita, kemusnahan rumah serta penaklukan wilayah Palestin seolah-olah tiada apa yang berlaku.

“Malaysia adalah sebuah negara yang merdeka. Kalau ada pihak lain yang tidak bebas bersuara, kita bebas menyuarakan pendirian kita.

“Oleh itu, saya akan terus mempertahankan hak rakyat Malaysia dan keputusan negara untuk tidak membenarkan mana-mana warga Israel memasuki negara ini,” katanya kepada pemberita pada Program Jelajah Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kritikan beberapa ahli Kongres AS yang mempersoalkan dasar Malaysia berhubung larangan terhadap warga Israel.

Anwar berkata, tuduhan kononnya Malaysia tidak menghormati undang-undang antarabangsa adalah tidak berasas dan bertentangan dengan hakikat sebenar.

Sebaliknya, beliau menegaskan Malaysia sentiasa berpegang kepada prinsip undang-undang antarabangsa serta mempertahankan hak asasi manusia, khususnya dalam isu Palestin.

“Saya ingin menjawab kenyataan pembuat undang-undang AS yang mendakwa Malaysia melanggar undang-undang antarabangsa dan tidak menghormati hak negara lain. Dakwaan itu benar-benar menjijikkan.

“Dasar ini telah diterima pakai Malaysia sejak puluhan tahun lalu dan bukannya sesuatu yang baharu,” katanya.

Perdana Menteri turut menjelaskan pendirian Malaysia bukan ditujukan terhadap masyarakat Yahudi secara keseluruhan, sebaliknya terhadap negara Israel yang dikaitkan dengan penjajahan serta operasi ketenteraan yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat Palestin.

“Kami menentang kehadiran warga Israel, bukan orang Yahudi. Penentangan ini kerana mereka dikaitkan dengan pembunuhan, penjajahan dan kolonisasi yang berterusan di Palestin serta Gaza,” katanya.

Menurut Anwar, terdapat negara memilih untuk berdiam diri terhadap apa yang berlaku di Gaza, namun Malaysia tidak akan mengambil pendirian sedemikian kerana negara ini berpaksikan nilai keadilan dan kemanusiaan sejagat.

“Ada kerajaan yang memilih untuk bersikap selektif dan berdiam diri terhadap jenayah kemanusiaan ini. Tetapi Malaysia tidak.

“Kita sebuah negara yang berdikari, mempertahankan hak sendiri dan rakyat Malaysia menghormati keadilan serta semangat kemanusiaan. Sebab itu dasar ini akan diteruskan,” katanya.

Mengulas dakwaan hubungan Malaysia dengan kumpulan Hamas menjadi isu kepada sesetengah pihak, Anwar berkata beliau tidak pernah menyembunyikan pendiriannya, malah perkara itu turut dimaklumkan secara terbuka kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Beliau berkata, pertemuannya dengan kepimpinan Hamas adalah bagi menyampaikan simpati kepada keluarga yang menjadi mangsa serangan dan pengeboman di Gaza.

“Saya sudah beritahu, termasuk ketika bertemu Presiden Trump, bahawa saya berjumpa dengan kepimpinan Hamas untuk menyatakan simpati kepada keluarga mereka yang kehilangan anak, isteri dan ahli keluarga akibat pengeboman serta pembunuhan.

“Jadi perkara itu bukan sesuatu yang aneh atau saya sembunyikan,” katanya.

Dalam masa sama, Anwar menegaskan pendirian tegas Malaysia terhadap Israel tidak pernah menjejaskan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan Amerika Syarikat.

Beliau berkata, Washington juga sedia maklum  dasar Malaysia berhubung Israel telah lama wujud dan tidak pernah menghalang kerjasama dua hala dalam bidang perdagangan, pelaburan serta hubungan diplomatik.

“Amerika Syarikat memang mengetahui dasar Malaysia ini sejak puluhan tahun dahulu.

“Kita tetap mengalu-alukan rakyat Amerika, pelaburan serta perdagangan AS. Hubungan kita dengan AS kekal baik sebagaimana hubungan dengan negara-negara lain.

“Namun, mustahil untuk kita berdiam diri dan tidak berani menegur pembunuhan rakyat yang tidak bersalah, termasuk di Palestin dan Gaza,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

AS jangan masuk campur urusan dalaman Malaysia – Fahmi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast