JEMPOL – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Jeram Padang, Manivanan Gowin berikrar tidak akan meminggirkan golongan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau berkata, kedua-dua golongan itu berhak menikmati kehidupan yang lebih berkualiti menerusi akses kepada kemudahan, bantuan dan perkhidmatan yang lebih baik.
Menurutnya, bagi warga emas, Manivanan mahu memperluaskan program penjagaan kesihatan, membawa lebih banyak pasukan perubatan ke komuniti, selain menyediakan bantuan kebajikan serta sokongan sosial agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa dan bermaruah.
“Golongan OKU juga tidak boleh terus dipinggirkan. Keperluan mereka perlu diberikan perhatian melalui penyediaan kemudahan awam yang lebih mesra OKU, akses kepada pendidikan, peluang pekerjaan, latihan kemahiran dan bantuan yang benar-benar memenuhi keperluan mereka,” katanya.
Selain itu, Manivanan berkata, manifesto ‘Kebajikan Untuk Semua’ turut memberi penekanan kepada kebajikan veteran, pesara dan wanita menerusi pelbagai inisiatif termasuk bantuan sara hidup, peluang keusahawanan serta latihan kemahiran.
Beliau berkata, kerjasama dengan kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, agensi berkaitan dan pertubuhan masyarakat akan diperkukuhkan bagi memastikan setiap bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Saya percaya kemajuan sesebuah masyarakat bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal, tetapi juga melalui keupayaan kita menjaga kebajikan setiap lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Tiada siapa harus dipinggirkan, termasuk warga emas dan OKU,” katanya. -MalaysiaGazette
















