KUALA LUMPUR – Penduduk di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang cemas apabila dikejutkan dengan gegaran susulan gempa bumi bermagnitud 5.7 yang melanda Utara Sumatera, Indonesia, tengahari tadi.
Akibat gegaran pada pukul 12.18 minit itu, beberapa bangunan terpaksa dikosongkan sementara bagi memastikan keselamatan penghuni.
Antara lokasi yang terjejas ialah Menara Maju Link B2 di Jalan Lingkaran Tengah, Bandar Tasik Selatan, apabila semua pekerja diarahkan keluar selepas merasai gegaran selama kira-kira 15 saat.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGOKL) berkata, sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) bersama enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
Menurut PGOKL, gegaran yang dirasai di ibu negara adalah susulan gempa bumi pada kedudukan 55 kilometer (km) barat daya Langsa, Indonesia seperti dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati hampir semua penghuni bangunan telah keluar dan berkumpul di kawasan selamat sebagai langkah berjaga-jaga,” menurut kenyataan itu hari ini.
Pasukan bomba kemudiannya menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas struktur bangunan dan mengesahkan tiada sebarang rekahan atau kerosakan dikesan.
“Bangunan terbabit didapati berada dalam keadaan baik dan selamat untuk diduduki semula,” katanya sambil memaklumkan operasi ditamatkan pada pukul 1.06 tengah hari.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Ashbar berkata, pihaknya turut menerima laporan kejadian gegaran di sebuah universiti swasta di Subang Jaya dan di Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
Menurut beliau, laporan diterima masing-masing pada jam 12.35 tengah hari dan 12.43 tengah hari sebelum anggota dikerahkan bagi menjalankan pemeriksaan keseluruhan bangunan.
“Pemeriksaan dibuat bagi memastikan tiada rekahan pada struktur bangunan dan mengesahkan premis selamat untuk diduduki.
“Kedua-dua bangunan dilaporkan selamat diduduki semula dan tiada rekahan atau keretakan ditemui setakat ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan gempa bumi sederhana bermagnitud 5.7 yang berlaku di Utara Sumatera pada jam 12.18 tengah hari turut dirasai di beberapa kawasan di pantai barat Semenanjung Malaysia. – MalaysiaGazette
















