JEMPOL – Barisan Nasional (BN) masih menjadi tonggak penting dalam kelangsungan pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Oleh itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan percaya, Anwar tidak akan berani untuk meminta pemimpin BN untuk melepaskan jawatan masing-masing daripada Kabinet.
Menurut beliau, UMNO yang mempunyai 30 kerusi Parlimen bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memiliki 23 kerusi menjadikan 53 kerusi yang disifatkannya cukup besar untuk mempengaruhi kestabilan kerajaan.
Malah, Ahli Parlimen Pontian itu mencabar Anwar supaya berbuat demikian jika beliau benar-benar berani.
“Perdana Menteri tak akan berani minta kami letak jawatan. Ada berani PMX suruh kami letak jawatan?”
“Ada berani, ada berani, ada berani?” katanya ketika berucap pada ceramah PRN Negeri Sembilan di Felda Palong 4 di sini.
Menurut beliau, sekiranya Perdana Menteri memilih untuk “bergaduh” dengan BN dan GPS, Kerajaan Perpaduan bakal berdepan risiko kehilangan sokongan daripada dua komponen penting yang menyumbang 53 daripada 151 kerusi kerajaan.
“Kalau PMX bergaduh dengan Timbalan Perdana Menteri 1 yang ada 30 kerusi, bergaduh pula dengan Timbalan Perdana Menteri 2 yang ada 23 kerusi, itu sudah 53 kerusi.
“Tak kan lah PMX nak gaduh dengan semua yang tak sokong dengan Harapan,” kata Timbalan Menteri Kerja Raya itu.
Dalam masa sama, Ahmad Maslan menegaskan BN tetap akan menghormati perjanjian menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran dan tidak bercadang menarik sokongan terhadap kerajaan.
“Kami sudah tandatangan perjanjian untuk menyokong Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal. Kami tidak akan memungkiri janji itu,” katanya.
Terdahulu Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatan sekiranya diarahkan perdana menteri.
Namun, Timbalan Presiden UMNO itu juga menegaskan kempen BN tidak berniat menyerang mana-mana pemimpin kerajaan pusat.
Manakala Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula berkata, soal pelantikan atau penamatan jawatan menteri adalah hak mutlak perdana menteri, justeru tiada mana-mana pihak perlu mendesak anggota Kabinet meletakkan jawatan. – MalaysiaGazette
















