GEORGE TOWN – Polis sedang mengesan seorang lelaki tempatan dikenali sebagai William bagi membantu siasatan berhubung sindiket phone scam yang berjaya dibongkar dalam serbuan di Bukit Mertajam pada Khamis lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, dia dikenali sebagai Ah Wei, 49, dan alamat terakhirnya direkodkan di Kampung Dato Abdul Rahman Yassin, Kluang, Johor, dikesan hanya bagi membantu siasatan sebagai saksi.
“Kita sedang mengesannya untuk membantu siasatan. Namanya timbul ketika siasatan dijalankan, justeru kita memintanya tampil bagi membantu polis.
“Dia bukan individu dikehendaki sebaliknya hanya saksi dalam siasatan ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dennis Lim berkata, polis menyerbu sebuah banglo empat tingkat di Bukit Mertajam pada 16 Julai lalu dan menyelamatkan seorang wanita warga Cameroon berusia 26 tahun yang dipercayai dikurung oleh sindiket penipuan telefon.
Katanya, susulan serbuan polis turut menahan 29 individu termasuk warga asing dari Filipina, Thailand, Afrika Selatan, Pakistan, Kemboja dan Nigeria.

“Siasatan mendapati sindiket itu dipercayai diketuai seorang warga Taiwan yang merekrut warga asing bagi menyamar sebagai pegawai polis untuk menjalankan penipuan telefon yang menyasarkan mangsa di Kanada dan Amerika Syarikat.
“Siasatan berhubung sindiket berkenaan masih diteruskan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Polis P.Pinang bongkar sindiket eksploitasi manusia, selamatkan wanita Cameroon
Media pada Jumaat lalu melaporkan Polis Pulau Pinang membongkar kegiatan eksploitasi manusia dan sindiket penipuan pekerjaan (job scam) menerusi beberapa serbuan berasingan di Seberang Perai Tengah (SPT) termasuk menyelamatkan seorang wanita warga Cameroon yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, dalam operasi pertama kira-kira jam 7 malam, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dengan kerjasama D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang serta Balai Polis Bukit Mertajam menyerbu sebuah premis di Jalan Utara, Berapit, Bukit Mertajam.
Beliau berkata, serbuan dijalankan susulan laporan polis yang diterima daripada seorang wakil komuniti Cameroon di Malaysia berhubung seorang wanita warga negara itu yang dipercayai dikurung dan dieksploitasi di daerah Seberang Perai Tengah.
“Hasil serbuan berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Cameroon berusia 25 tahun serta menahan 29 warga asing terdiri daripada 20 lelaki dan sembilan wanita yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau dokumen pengenalan diri yang sah.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibawa dari Kemboja ke Malaysia melalui laluan tidak sah selepas bekerja dengan sindiket berkenaan selama hampir setahun.
“Mangsa dipercayai diperdaya dengan tawaran pekerjaan, tidak dibayar gaji selain pergerakannya dikawal,” katanya.
Dalam serbuan itu, kesemua suspek warga asing ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala mangsa diselamatkan di bawah Seksyen 44 ATIPSOM. – MalaysiaGazette
















