Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin berucap pada Ceramah Gelombang Biru - Jelebu sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Felcra Lakai, Jelebu. Foto SADIQ SANI, 22 JULAI 2026.

JELEBU – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin membalas sindiran Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung cadangan gabungan ‘Perikatan Barisan Nasional’, dengan menegaskan soal ‘senonoh’ atau tidak biarlah ditentukan rakyat.

Hamzah berkata, beliau tidak mahu memanjangkan polemik mengenai istilah itu kerana apa yang lebih penting ialah kerjasama politik yang sedang diusahakan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, kerjasama berkenaan merupakan satu gelombang baharu yang diyakini mampu memberi pilihan kepada rakyat.

“Pada saya, senonoh tak senonoh itu bab dia. Yang bab yang saya nak maklumkan adalah merupakan sesuatu gelombang biru daripada kerjasama yang kita lakukan.

“Kalau dia nak lebih senonoh, dia buatlah kerjasama dengan merah dia tu, supaya rakyat tunjukkan yang mana lebih senonoh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program ceramah umum bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang juga calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang di Felcra Lakai di sini malam tadi.

Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap ketika sidang media selepas hadir pada Ceramah Gelombang Biru – Jelebu sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Felcra Lakai, Jelebu. Foto SADIQ SANI, 22 JULAI 2026.

Hamzah diminta mengulas kenyataan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana menyifatkan cadangan nama ‘Perikatan Barisan Nasional’ sebagai ‘tak senonoh’.

Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan) merangkap Ahli Parlimen Larut berkata, penilaian terhadap kerjasama politik itu bukan ditentukan melalui kenyataan pemimpin, sebaliknya menerusi keputusan rakyat pada pilihan raya nanti.

“Saya rasa pada satu hari bulan (hari mengundi pada 1 Ogos), dia tahulah senonoh atau tidak,” katanya.

Semalam, Muhyiddin ketika berucap pada program minum santai di DUN Labu menyindir cadangan menggunakan nama ‘Perikatan Barisan Nasional’ dengan menyifatkannya sebagai “tak senonoh” susulan usaha membentuk kerjasama politik baharu membabitkan PN dan Barisan Nasional. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast