SEREMBAN – Penubuhan Pusat Media Penerangan dan Komunikasi Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan merupakan langkah strategik untuk menghadapi “perang maklumat” sepanjang tempoh kempen.
Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, setiap pilihan raya bukan sekadar medan persaingan politik, malah turut menyaksikan perebutan naratif bagi mempengaruhi pengundi.
Beliau berkata, keadaan itu menjadi lebih mencabar apabila kerajaan negeri dan Persekutuan kini berada di bawah gabungan sama yang mempunyai kelebihan menguasai pelbagai saluran komunikasi.
“Kita memerlukan satu saluran yang membolehkan kita berinteraksi dengan wakil media, sama ada media arus perdana mahupun media sosial, supaya maklumat yang disampaikan dapat disebarkan seluas mungkin.
“Ia penting bagi menangani maklumat yang tidak tepat, salah faham atau dakwaan yang dilemparkan oleh pihak lawan sepanjang kempen,” katanya ketika merasmikan pusat media berkenaan, di Ampangan, di sini, hari ini.
Mukhriz berkata, pusat media itu akan menjadi platform rasmi bagi memastikan maklumat yang dikeluarkan PN sampai kepada rakyat secara cepat dan tepat.
“Saya menyeru pengamal media membantu menyampaikan laporan yang berasaskan fakta supaya pengundi memperoleh gambaran sebenar mengenai dasar serta tawaran yang dibawa gabungan itu.
Selain itu, Mukhriz juga menyeru semua parti yang bertanding pada PRN Negeri Sembilan supaya berkempen secara beretika dengan memberi tumpuan kepada fakta dan bukannya serangan peribadi.
“Saya harap semua yang bertanding tidak menggunakan kaedah yang kurang beretika.
“Kita perlu berpegang kepada fakta dan biarkan rakyat menilai sendiri,” katanya.
Selain itu, Mukhriz mendakwa PN berdepan cabaran besar untuk menyampaikan mesej kempen kepada rakyat kerana kerajaan mempunyai penguasaan lebih besar terhadap saluran komunikasi dan media.
“Keadaan itu menyebabkan PN perlu memperkukuhkan strategi komunikasi sendiri bagi memastikan maklumat parti sampai kepada pengundi tanpa dipengaruhi naratif pihak lawan.
“Kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan berada di pihak yang sama, maka tentunya penguasaan mereka terhadap saluran media lebih tinggi berbanding pihak pembangkang seperti kami.
“Sebab itu kita memerlukan pusat media ini supaya maklumat PN dapat disampaikan secara lebih meluas dan tepat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















