Saifuddin Shafi

SEREMBAN – Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad menyifatkan Setiausaha Politik kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Razlan Rafii cuba mengalihkan perhatian daripada isu sebenar apabila mendakwa Pakatan Harapan (PH) semakin angkuh dan gagal memahami mesej pengundi.

Menurutnya, kenyataan Razlan itu dibuat selepas beliau mengingatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak terlalu angkuh kerana UMNO masih bergantung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulihkan imej parti serta mengekalkan kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan.

“Tidak timbul soal PH gagal kerana BN juga adalah sebahagian daripada kerajaan. Jika mahu bercakap mengenai prestasi kerajaan, BN juga perlu memikul tanggungjawab yang sama.

“Malah Razlan sendiri sepatutnya malu kerana sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, beliau gagal membantu menyelesaikan cabaran sokongan orang Melayu terhadap kerajaan Madani.

“Kemas dan Felda berada di bawah seliaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, manakala Mara pula diterajui Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki,” katanya kepada MalaysiaGazett pagi ini.

Saifuddin turut mendakwa, kelewatan pelaksanaan reformasi secara menyeluruh bukan berpunca daripada PH, sebaliknya kerana terdapat sebahagian pimpinan BN yang masih menghalang usaha pembaharuan.

“Kerajaan kadangkala dilihat lemah bukan kerana PH gagal, tetapi kerana masih ada pimpinan BN yang menghalang reformasi sepenuhnya kerana bimbang sistem yang lebih telus akan menutup ruang untuk mereka kembali berkuasa penuh pada masa hadapan,” dakwanya.

Malah Razlan selaku setiausaha politik gagal bantu Zahid dapatkan dokongan penuh Ahli Parlimen BN yang sebahagiannya menjadi gunting dalam lipatan kepada Perpaduan.

Beliau berkata, keadaan itu berbeza dengan kerjasama di Sabah dan Sarawak apabila pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) lebih ikhlas memastikan agenda kerajaan dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

“Usaha mengagihkan kekayaan dan melaksanakan janji kepada rakyat lebih mudah dilakukan di Sabah dan Sarawak kerana pimpinan GRS dan GPS lebih jujur dalam meletakkan kepentingan rakyat mengatasi percaturan politik,” katanya lagi.

Mengulas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Saifuddin berkata, dakwaan kononnya rakyat menolak PH kerana prestasi pentadbiran adalah tidak tepat.

Sebaliknya, beliau mendakwa keputusan itu banyak dipengaruhi naratif perkauman dan agama yang dimainkan secara tersusun oleh golongan ekstremis.

“Rakyat tidak mengundi PH bukan kerana prestasi kerajaan, tetapi akibat politik ketakutan yang dirancang secara halus oleh kelompok ekstremis yang memperalatkan sentimen Melayu dan Islam untuk kembali berkuasa,” tegas beliau.

Pada masa sama, beliau menyifatkan BN yang bersikap seperti ‘abang besar’ dalam Kerajaan Perpaduan walaupun jumlah kerusi Parlimen dimiliki parti itu jauh lebih kecil berbanding PH.

“Yang berlagak seperti abang besar ialah BN. Hakikatnya BN hanya mempunyai 30 kerusi Parlimen, sedangkan PH mempunyai jumlah kerusi yang jauh lebih besar.

“Jadi tidak perlulah cuba memberi gambaran seolah-olah PH sahaja yang perlu dipersalahkan terhadap segala isu dalam kerajaan sedangkan BN juga merupakan sebahagian daripada pentadbiran hari ini,” ujar beliau.

Terdahulu, Razlan mendakwa sikap PH yang semakin angkuh serta enggan mengambil iktibar daripada keputusan PRN Johor bakal mengundang satu lagi penolakan rakyat pada pilihan raya akan datang.

Dakwanya lagi, gabungan itu masih gagal memahami mesej yang disampaikan pengundi. -MalaysiaGazette

PH semakin angkuh, gagal ambil iktibar kekalahan PRN Johor – Razlan Rafii

Zahid jangan terlalu angkuh, UMNO masih bergantung kepada PM – Saifuddin

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast