Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 17 MEI 2026.

SEREMBAN – Angkatan Muda Harapan (AMH) Negeri Sembilan menempelak Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kerana didakwa cuba menakut-nakutkan pengundi dengan membangkitkan dakwaan kononnya Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, boleh dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

AMH berkata, dakwaan itu bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan yang menetapkan syarat jelas bagi pelantikan menteri besar.

Menurut kenyataan AMH, Perkara 36 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Besar hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang mendapat kepercayaan majoriti Dewan sebagai menteri besar.

“Bagaimanapun, Perkara 36(2) menetapkan calon Menteri Besar hendaklah seorang Melayu, beragama Islam dan warganegara melalui kuat kuasa undang-undang.

“Justeru, cubaan mengaitkan Anthony sebagai menteri besar bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah memperlihatkan sikap tidak menghormati Undang-Undang Tubuh Negeri,” katanya hari ini.

AMH turut menggesa semua pihak berpolitik secara matang dengan menghormati Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Negeri dan tidak memainkan sentimen yang tidak berasaskan fakta demi meraih sokongan.

Asyraf Wajdi ketika berkempen bersama calon BN Pilah semalam, membangkitkan persoalan sama ada Anthony akan menjadi menteri besar sekiranya Datuk Seri Aminuddin Harun tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Sabtu depan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast