JEMPOL – Pas menyambut baik keputusan Perdana Menteri untuk membentangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) namun mempersoalkan mengapa pengumuman itu hanya dibuat ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sedang berlangsung.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, laporan RCI yang disiapkan sejak sekian lama sepatutnya didedahkan lebih awal demi menjamin ketelusan serta memelihara keyakinan umat Islam terhadap institusi TH.
Menurutnya, waktu pengumuman itu menimbulkan persepsi kerajaan cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada isu lain yang sedang hangat diperkatakan termasuk kontroversi pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat eFishery di Indonesia.
“Pas telah berkali-kali mendesak supaya hasil dapatan RCI yang ditubuhkan pada 2022 dibentangkan kepada umum. Namun persoalannya, mengapa hanya sekarang ia diumumkan ketika suhu politik semakin memuncak?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, kerajaan perlu menjelaskan kelewatan pembentangan laporan itu bagi mengelakkan persepsi bahawa RCI digunakan sebagai alat politik atau hanya didedahkan apabila memberi kelebihan kepada pihak tertentu.
Beliau turut mengingatkan supaya laporan RCI Tabung Haji tidak menerima nasib sama seperti laporan RCI Batu Puteh yang sebelum ini mencetuskan pertikaian berhubung pembentangannya di Parlimen.
Dalam masa sama, beliau menegaskan, Pas tidak akan mempertahankan mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang.
“RCI yang menggunakan dana awam tidak seharusnya dikendalikan mengikut percaturan politik. Ia mesti dibentangkan secara telus demi kepentingan rakyat.
“Jika wujud salah laku, tindakan undang-undang mesti diambil secara adil dan telus tanpa mengira siapa yang terlibat,” katanya.
Beliau menambah, sebagai institusi yang mengurus simpanan umat Islam untuk menunaikan ibadah haji, sebarang isu melibatkan Tabung Haji perlu dijelaskan secara terbuka bagi memastikan keyakinan pendeposit terus terpelihara. – MalaysiaGazette
















