PORT DICKSON – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mengaitkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebagai calon Menteri Besar sekiranya beliau tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 sebagai perbuatan cukup biadab.
Beliau yang juga calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi turut menggesa Asyraf Wajdi memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan; Undang Yang Empat serta seluruh rakyat Negeri Sembilan.
Tegasnya, Undang-Undang Tubuh Negeri secara jelas menyatakan orang bukan Melayu tidak boleh menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Perbuatan biadab seperti ini tak patut berlaku dalam pilihan raya. Boleh bergurau tetapi gurauan itu biar kena pada tempat.
“Saya harap dia mohon maaf, bukan kepada saya, tetapi kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat serta seluruh rakyat Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam, Asyraf Wajdi dilaporkan mempersoalkan individu yang bakal dilantik PH sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan jika kembali mentadbir sekiranya Aminuddin kalah di DUN Linggi yang merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).
Secara sinis, Asyraf Wajdi mempersoalkan sama ada PH akan melantik Anthony Loke sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menggesa pimpinan BN dan UMNO turut menegur sikap biadab Asyraf Wajdi berkenaan.
“Jagalah mulut ketika pilihan raya. Kita boleh cakap apa sahaja, tetapi jangan sentuh institusi raja.
“UMNO kata hormat Melayu, hormat Raja, hormat Islam, tetapi sendiri yang langgar (rasa hormat itu),” katanya. – MalaysiaGazette
















