SEREMBAN – Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran menegaskan kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengaitkan rakyat Malaysia keturunan India dan Cina dengan negara asal mereka membuktikan mengapa komponen Barisan Nasional (BN) perlu bergerak secara solo tanpa sebarang kerjasama dengan PN.
Katanya dalam nada kecewa, kenyataan seumpama itu bukan sahaja mampu memecah-belahkan masyarakat majmuk malah meletakkan MIC dan parti-parti komponen BN dalam kedudukan sukar kerana terpaksa berdepan dengan naratif bercanggah dengan semangat perpaduan yang selama ini diperjuangkan.
“Inilah sebabnya MIC tidak akan berdiam diri. Kenyataan seperti ini meletakkan kami dalam keadaan yang amat sukar dan membuktikan mengapa BN perlu berdiri sendiri tanpa sebarang kerjasama.
“Kami bukan rakyat India atau China. Kami rakyat Malaysia. Malaysia adalah tanah air kami dan kesetiaan kami hanya kepada negara serta Yang di-Pertuan Agong.
“Politik yang memainkan sentimen perkauman hanya akan memecah-belahkan rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Vigneswaran, kenyataan yang menggambarkan kaum India dan Cina mempunyai negara lain untuk kembali bukan sahaja tidak tepat malah boleh menghakis semangat perpaduan yang dibina sejak negara mencapai kemerdekaan.
Katanya, majoriti rakyat Malaysia keturunan India dan Cina dilahirkan di negara ini, membesar, membayar cukai, menyumbang kepada pembangunan negara serta mengangkat institusi Raja-Raja Melayu sama seperti rakyat Malaysia yang lain.
“Mengapa masih ada pihak yang mahu menggambarkan kami seolah-olah orang luar? Kami tidak mempunyai negara lain untuk pulang. Malaysia ialah satu-satunya negara yang kami kenal sebagai tanah air,” tegasnya.
Beliau berkata, penggunaan istilah seperti ‘kemurungan India’ atau ‘keturunan Cina’ dalam dokumen rasmi hanyalah bagi tujuan pengenalan kaum dan pentadbiran bukan bermaksud kesetiaan seseorang rakyat Malaysia tertumpah kepada India atau China.
Vigneswaran turut mempersoalkan logik kenyataan Sanusi dengan bertanya sama ada masyarakat Indonesia yang tinggal di Malaysia juga perlu dianggap sebagai rakyat Indonesia jika hujah sama digunakan.
“Kalau begitu, adakah orang Indonesia di Malaysia milik Indonesia? Bagaimana pula dengan masyarakat Orang Asli? Logik seperti ini langsung tidak boleh diterima dalam sebuah negara yang dibina atas semangat kewarganegaraan,” tempeleknya.
Beliau menegaskan, semua rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India mahupun mereka yang telah memperoleh kewarganegaraan secara sah, mempunyai kesetiaan yang sama kepada negara dan Yang di-Pertuan Agong.
“Jangan sesekali meletakkan rakyat Malaysia dalam kelompok seolah-olah ada yang lebih Malaysia dan ada yang kurang Malaysia.
“Kesetiaan kepada negara tidak ditentukan oleh warna kulit, keturunan atau asal usul nenek moyang, tetapi oleh kewarganegaraan dan rasa tanggungjawab terhadap tanah air,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Vigneswaran menggesa Pas menghentikan naratif yang boleh menjarakkan hubungan antara kaum dan sebaliknya mengambil pendekatan lebih sederhana dalam mendekati masyarakat majmuk.
Menurutnya, Parti Amanah Negara (Amanah) yang turut membawa perjuangan Islam tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang menyebabkan masyarakat bukan Melayu berasa mereka tidak diterima di negara sendiri.
“Pas perlu belajar daripada Amanah. Kedua-duanya memperjuangkan Islam tetapi Amanah tidak mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan masyarakat Cina dan India. Sebab itu mereka lebih mudah diterima dalam masyarakat majmuk,” katanya.
Beliau turut menolak dakwaan orang Melayu sedang kehilangan tanah air atau kuasa politik dengan menyifatkan naratif tersebut tidak berpijak kepada realiti.
Katanya, orang Melayu terus menerajui pentadbiran negara sejak merdeka, manakala kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera kekal dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Tiada siapa yang mengambil tanah orang Melayu. Tiada siapa yang menghapuskan kuasa politik orang Melayu. Naratif ancaman seperti ini tidak perlu diteruskan kerana ia hanya menimbulkan kebimbangan yang tidak berasas dalam kalangan rakyat,” ujarnya.
Terdahulu, Sanusi mendakwa kuasa politik dan penguasaan ekonomi orang Melayu semakin terhakis serta berdepan risiko hilang sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun jika tiada perubahan drastik dilakukan.
Beliau turut menyatakan Malaysia merupakan satu-satunya Tanah Melayu bagi orang Melayu manakala kaum lain mempunyai negara asal masing-masing seperti India dan China. -MalaysiaGazette
















