JOHOR BAHRU – Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu memperkukuh kepimpinan serta bersedia menghadapi perubahan teknologi, peningkatan kos dan persaingan pasaran agar kekal relevan dengan situasi semasa.
Pengasas RichWorks Consulting Group (RCG) dan Mentor Usahawan, Datuk Dr Azizan Osman berkata, ia bagi memastikan perniagaan terus mampan, berdaya saing dan dipacu untuk terus bergerak ke hadapan
“Cabaran terbesar usahawan hari ini bukan sekadar mengurus operasi tetapi memastikan pemimpin atau driver syarikat mampu menyesuaikan perniagaan dengan perubahan teknologi, pasaran dan landskap ekonomi yang semakin pantas.
“Transformasi driver perlu menjadi keutamaan kerana pemimpin yang bersedia berubah lebih berupaya memacu organisasi, membuat keputusan yang tepat serta mengharungi cabaran perniagaan yang sentiasa berkembang,” katanya ketika ditemui media dalam program Inner Circle Meeting (ICM) Johor di sini hari ini.

Program itu menghimpunkan lebih 200 usahawan dari seluruh negara bagi memperkukuh strategi, kepimpinan dan sistem perniagaan supaya lebih bersedia menghadapi perubahan ekonomi dan industri.
Bukan itu saja, penulis 14 buku antarabangsa bersama-sama bapa pemasaran moden, Philip Kotler dan pengasas firma perkhidmatan profesional Indonesia, PenMCorp (MarkPlus), Hermawan Kartajaya turut berkongsi input terkini mengenai strategi pemasaran dan pertumbuhan perniagaan.
Turut menjadi tetamu jemputan ialah bekas atlet kebanggaan negara, Josiah Ng yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Komanwel serta tiga kali mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik.
Mengulas lanjut, Azizan berkata, ramai tidak mengetahui apa berlaku di sebalik tabir, tekanan ditanggung pemilik syarikat, keputusan sukar yang terpaksa dibuat serta pengorbanan dilakukan untuk mempertahankan perniagaan dan mata pencarian ramai pekerja.
Katanya, ramai hanya melihat apabila sebuah syarikat jatuh, tetapi mereka tidak melihat berapa lama syarikat itu dibina, berapa banyak kegagalan dilalui sebelum berjaya termasuk jumlah pekerja yang bergantung dengan syarikat itu dan berapa ramai ahli keluarga bersama-sama berkorban sepanjang perjalanan.
Beliau berkata, apabila sesebuah syarikat berdepan masalah, kesannya bukan sekadar kepada pemilik malah turut melibatkan pekerja, pembekal, pelanggan dan keluarga yang bergantung kepada kelangsungan perniagaan tersebut.

“Sepanjang hampir dua dekad membimbing komuniti usahawan, saya tidak pernah melihat sebuah syarikat gagal hanya kerana satu faktor kerana prestasi sesebuah perniagaan dipengaruhi oleh gabungan pelbagai perkara.
“Ini termasuk perubahan ekonomi, aliran tunai, persaingan pasaran, teknologi, kepimpinan organisasi, disiplin pelaksanaan serta keputusan yang dibuat oleh driver kepada syarikat itu sendiri.
“Ramai mencari siapa yang hendak dipersalahkan apabila sebuah syarikat jatuh sedangkan soalan lebih penting ialah apa yang telah berubah dalam pasaran, apa keputusan yang telah dibuat oleh syarikat dan sejauh mana driver kepada syarikat itu bersedia berubah apabila dunia di sekelilingnya berubah,” jelasnya.
Katanya lagi, seorang mentor tidak pernah mempunyai kuasa untuk menjamin seseorang usahawan akan berjaya sepanjang hayat kerana dunia perniagaan sentiasa berubah.
Namun katanya, peranan mentor adalah membina cara berfikir, kepimpinan, disiplin, strategi dan daya tahan supaya seseorang usahawan mempunyai keupayaan untuk bangkit apabila diuji.
“Sebab itu RichWorks sentiasa memberi penekanan bahawa transformasi sesebuah syarikat bermula daripada transformasi driver kerana apabila pemimpin berubah daripada segi cara berfikir, disiplin, kepimpinan dan keberanian membuat keputusan, organisasi juga akan mula berubah,” katanya.

Beliau beranggapan cabaran sebenar PMKS hari ini bukan semata-mata ekonomi tetapi apabila driver kepada syarikat berhenti belajar sedangkan pelanggan berubah, teknologi berubah dan pasaran berubah setiap hari.
Menurut Azizan, ini kerana sepanjang hampir dua dekad RichWorks membimbing komuniti usahawan, terdapat ribuan kisah yang membawa pengajaran berbeza.
“Antara contoh yang saya sendiri saksikan ialah perjalanan Pengasas Momentum Iyziq, Najib Asaddok yang pernah melalui episod kejatuhan besar sebelum bangkit semula dan kembali mencatat jualan jutaan ringgit sebulan.
“Sementara usahawan pendidikan, Miss Fana (Siti Farhana Abu Osman) pula berjaya membawa PTTI mencatat jualan mencecah RM28 juta pada 2025, sekali gus membuktikan bahawa apabila driver terus berkembang, organisasi juga mampu berkembang sehingga membina antara empayar pendidikan tuisyen paling berjaya di negara ini,” katanya.
Malah katanya, Mohamed Nurhakim atau Norman Hakim menerusi Normey Holdings Sdn Bhd turut membuktikan bahawa pertumbuhan luar biasa mampu dicapai.
Selain itu Dr Kartika Wati Mohamed pula pernah melalui fasa yang hampir menutup syarikatnya sebelum berjaya mentransformasikan Eskayvie menjadi antara jenama kesihatan tempatan yang dikenali ramai.

Azizan memberitahu, ketiga-tiga kisah itu mempunyai jalan cerita yang berbeza, namun satu perkara yang sama ialah mereka memilih untuk terus belajar, menerima teguran, mengubah strategi dan tidak berhenti bertindak walaupun berdepan cabaran besar. – MalaysiaGazette















