Keadaan terkini Pasar Borong Selangor selepas kebakaran malam tadi. - Gambar ihsan bomba.

KUALA LUMPUR – Tiada mangsa terlibat atau ditemui dalam kebakaran yang memusnahkan beberapa premis perniagaan di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan selepas kerja-kerja punggahan sisa bahan terbakar selesai dijalankan dekat sini petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati tiada individu terperangkap di bawah timbunan runtuhan.

“Kerja-kerja punggahan sisa bahan bakar selesai dilaksanakan kira-kira pukul 5 petang dan hasil pemeriksaan mendapati tiada mangsa ditemukan.

“Tapak insiden kemudian diserahkan kepada Bahagian Penyiasatan Kebakaran Negeri untuk tindakan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran,” katanya di lokasi kejadian hari ini.

Tambah beliau, operasi terbabit ditamatkan sepenuhnya pada jam 6 petang selepas semua anggota dan jentera kembali ke balai masing-masing.

Terdahulu, JBPM menggunakan jengkaut bagi mengalihkan timbunan sisa kebakaran susulan terdapat petunjuk bahawa premis berkenaan pernah dijadikan tempat tinggal sekali gus bagi memastikan tiada mangsa tertinggal di lokasi.

Kebakaran yang berlaku semalam memusnahkan beberapa premis perniagaan di kawasan pasar berkenaan namun api berjaya dikawal daripada merebak ke bangunan utama pasar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast