Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

SEREMBAN – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, beliau tidak akan memohon maaf kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berhubung kenyataannya mengenai calon Menteri Besar Pakatan Harapan (PH).

Beliau bagaimanapun mendakwa Aminuddin sendiri perlu meminta maaf terlebih dahulu susulan tindakan setiausaha akhbarnya didakwa membuat jenaka dengan menobatkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebagai “Undang Kelima”.

“Aspek yang lebih biadab ialah apabila institusi adat dan raja dijadikan bahan jenaka.

“Kalau beliau suruh saya minta maaf, beliau sendiri perlu meminta maaf dahulu kerana perkara itu berkait rapat dengan institusi adat dan Raja yang sangat dimuliakan rakyat Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berucap menyempurnakan Program Pemerkasaan Wanita dan Komuniti Peringkat Parlimen Rasah di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini

Terdahulu beliau menyempurnakan Program Pemerkasaan Wanita dan Komuniti Peringkat Parlimen Rasah.

Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan itu menyifatkan kenyataan Asyraf Wajdi bahawa Anthony Loke akan menjadi Menteri Besar sekiranya beliau tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi sebagai biadab.

Aminuddin berkata, Asyraf Wajdi sebagai seorang pemimpin sepatutnya lebih bijaksana dan berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan khususnya membabitkan Institusi Diraja dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Asyraf menjelaskan, kenyataannya sebelum ini hanyalah menjawab pertanyaan media mengenai calon Menteri Besar daripada Barisan Nasional (BN) sekiranya gabungan itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurutnya, beliau hanya bergurau dengan bertanya siapa calon Menteri Besar PH sekiranya Aminuddin tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi.

“Saya pun tahu syarat Menteri Besar Negeri Sembilan mestilah Melayu dan beragama Islam. Sindiran itu hanya untuk membalas dakwaan kononnya BN tidak mempunyai calon Menteri Besar, sedangkan kita mempunyai ramai calon yang layak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast