Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengiringi calon PH N.18 Pilah, Datuk Noorzunita Begum walkabout kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Pekan Kuala Pilah. Foto FAREEZ FADZIL, 25 JULAI 2026.

PILAH – Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menyerahkan kepada pengundi untuk menilai sendiri perkembangan hubungan antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang dilihat berdepan beberapa polemik kebelakangan ini.

Beliau berkata, terdapat beberapa isu sensitif yang timbul sejak beberapa hari lalu namun beliau enggan mengulas lanjut dan memilih untuk memberi ruang kepada rakyat membuat penilaian sendiri.

“Saya tengok dari luar sahaja nampak ada isu-isu yang sensitif. Bagi saya, isu-isu seperti ini tidak sepatutnya digunakan sebagai bahan politik. Apa yang berlaku di pihak PN dan BN itu saya tidak mahu komen lebih lanjut.

“Biar pengundi sendiri membuat penilaian berdasarkan apa yang mereka lihat berlaku kebelakangan ini,” katanya kepada media ketika ditemui berkempen untuk calon Pakatan Harapan (PH) DUN Pilah di sekitar Pekan Pilah hari ini.

Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengiringi calon PH N.18 Pilah, Datuk Noorzunita Begum bercakap kepada media ketika kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Pekan Kuala Pilah. Foto FAREEZ FADZIL, 25 JULAI 2026.

Pada masa sama, Tengku Zafrul menegaskan, kerjasama antara PH dan BN perlu diteruskan kerana terbukti memberi kestabilan politik yang menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Menurutnya, Malaysia kini memerlukan sebuah kerajaan yang stabil bagi menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin mencabar.

“Saya rasa penting kita teruskan hubungan ataupun kerjasama yang ada. Kalau kita lihat, dari segi ekonomi dan kestabilan politik, semua ini membantu negara kita.

“Ini bukan masanya untuk kita berpecah kerana ekonomi global semakin meruncing dan negara kita memerlukan sebuah kerajaan yang stabil,” ujarnya.

Mengulas persaingan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, beliau berkata, pertandingan politik adalah perkara biasa, namun setiap parti perlu mengamalkan politik yang matang serta berasaskan idea dan dasar.

Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kiri) mengiringi calon PH N.18 Pilah, Datuk Noorzunita Begum (tengah) menyantuni penduduk setempat ketika kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Pekan Kuala Pilah. Foto FAREEZ FADZIL, 25 JULAI 2026.

“Memang ada pertandingan antara PH dan PN. Kita faham setiap pihak ada isu yang mahu dibangkitkan tetapi kalau boleh biarlah politik yang dibawa itu politik matang.

“Pengundi perlu diberi ruang membuat pilihan berdasarkan fakta dan prestasi,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak mengeksploitasi isu-isu sensitif demi kepentingan politik sempit sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memastikan kestabilan negara terus terpelihara.

Tengku Zafrul berkata, kestabilan politik merupakan faktor penting dalam meyakinkan pelabur, merangsang pertumbuhan ekonomi dan memastikan dasar-dasar kerajaan dapat dilaksanakan secara berkesan demi manfaat rakyat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast