PILAH – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengulangi pendirian mengekalkan sokongan kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal.
Namun pada masa sama menggesa pengundi Negeri Sembilan memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk mengambil alih pentadbiran negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 1 Ogos ini.
Beliau berkata, perubahan kerajaan negeri tidak akan menjejaskan kestabilan Kerajaan Persekutuan kerana BN kekal komited menyokong kepimpinan Anwar seperti dipersetujui dalam kerajaan Perpaduan.
“Kita tidak mahu tebuk atap. Kita tetap menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.
“Tetapi untuk Negeri Sembilan, berilah peluang kepada BN bentuk kerajaan negeri supaya kita dapat mentadbir dengan lebih baik,” katanya ketika berucap pada Program Agrikomoditi yang turut dihadiri Menteri Peladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Seri Noraini Ahmad di sini, hari ini.
Menurut Zahid, keyakinan itu turut disandarkan kepada momentum kemenangan besar BN pada PRN Johor yang disifatkannya sebagai permulaan ‘gelombang biru, sekaligus berharap ia dapat diteruskan di Negeri Sembilan dan negeri-negeri lain.
Beliau berkata, rakyat perlu menilai semula prestasi pentadbiran negeri kerana kadar pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan masih berada di bawah purata nasional.
Katanya, pertumbuhan ekonomi negara kini berada pada kadar 5.6 peratus, manakala Negeri Sembilan hanya mencatatkan 4.2 peratus berbanding Johor yang merekodkan pertumbuhan sekitar lapan peratus.
“Ini menunjukkan Negeri Sembilan masih berada di bawah purata negara. Kita mahu melihat negeri ini berkembang dengan lebih pesat dan mampu bersaing dengan negeri-negeri lain,” ujarnya lagi.
Menurutnya, Negeri Sembilan pernah menikmati prestasi pembangunan yang lebih baik ketika berada di bawah pentadbiran BN dan beliau yakin pencapaian itu mampu diulangi sekiranya gabungan berkenaan diberi peluang mentadbir semula.
Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi supaya tidak mengulangi kesilapan lalu dan memberikan mandat kepada BN untuk menerajui pentadbiran negeri.
Dalam ucapannya, Zahid turut menzahirkan keyakinan terhadap calon-calon BN di Kuala Pilah termasuk Datuk Ismail Lasim, S. Leza Md Yasin dan Mohamad Qayyum Abd Jalil.
Beliau berkata, kesemua calon itu mempunyai pengalaman, komitmen dan potensi untuk menjadi wakil rakyat yang berkesan, namun mengingatkan mereka supaya sentiasa mengamalkan budaya turun ke bawah bagi mendekati rakyat.
“Wakil rakyat jangan lupa akar umbi. Sentiasalah turun padang, dengar sendiri masalah rakyat dan pastikan setiap isu diberikan perhatian. Itulah budaya yang perlu diteruskan,” katanya.
Mengulas kerjasama politik pada PRN kali ini, Zahid menjelaskan persefahaman yang wujud dengan parti lain hanyalah strategi pilihan raya bagi mengelakkan pertembungan di beberapa kerusi dan bukannya satu perjanjian politik.
Beliau berkata, pendekatan itu merupakan kebijaksanaan politik yang tidak sepatutnya dijadikan polemik kerana matlamat akhirnya adalah memastikan pertandingan berlangsung secara lebih tersusun.
Pada masa sama, Zahid menolak dakwaan bahawa BN merupakan gabungan yang bersifat perkauman.
Sebaliknya, beliau berkata, BN sejak penubuhannya dianggotai parti-parti mewakili pelbagai kaum termasuk MCA dan MIC, selain mendapat sokongan pelbagai lapisan masyarakat menerusi Friends of BN.
“Kita hidup dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai bangsa, agama, budaya dan bahasa.
”Yang lebih penting ialah kita bersama-sama membantu rakyat dan membangunkan negara, bukannya memainkan sentimen yang memecah-belahkan masyarakat,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















