SEREMBAN – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mempertahankan pendekatan manifesto gabungan Barisan Nasional (BN)-PN yang tidak memperincikan sasaran atau angka tertentu.
Beliau berkata, sebaliknya manifesto berfungsi sebagai dokumen dasar yang mudah difahami rakyat bukan seperti Rancangan Malaysia.
Menurut beliau, segala unjuran dan angka telah pun diperhalusi oleh pasukan yang merangka manifesto namun tidak perlu dimuatkan secara terperinci kerana ia hanya akan menjadikan dokumen tersebut terlalu panjang dan sukar difahami.
“Manifesto bukannya Rancangan Malaysia yang penuh dengan angka-angka. Ini adalah apa yang akan kita lontarkan kepada rakyat dan sudah tentu pasukan yang merangka manifesto sama ada daripada BN atau PN telah melalui semua angka-angka tersebut.
“Tidak ada keperluan untuk kita bentangkan semua angka kerana ia akan jadi panjang. Yang mustahak ialah apa yang ingin kita sampaikan kepada rakyat supaya mereka mudah faham,” katanya pada sidang media di sini malam ini.

Terdahulu beliau melancarkan Manifesto PN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Kompleks Pas Negeri Sembilan (Kompas).
Dalam perkembangan sama, Samsuri mengesahkan manifesto yang dibentangkan merupakan hasil penyelarasan bersama antara BN dan PN.
“Kita sudah selaraskan,” katanya ringkas ketika ditanya sama ada kandungan manifesto telah dibincangkan dan dipersetujui kedua-dua gabungan.
Beliau turut menjelaskan, calon-calon yang bertanding boleh menggunakan manifesto gabungan mahupun manifesto berasingan sebagai bahan kempen kerana kedua-duanya saling melengkapi.
“Ada spesifik? Kedua-dua boleh,” katanya.
Jelas Samsuri, manifesto yang dilancarkan itu melengkapkan keseluruhan tawaran yang akan dilaksanakan sekiranya BN-PN berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri selepas PRN.
“Fokus utama ialah memastikan rakyat memahami hala tuju pentadbiran yang ditawarkan, bukannya dibebankan dengan dokumen yang terlalu teknikal atau sarat dengan angka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















