KUALA PILAH – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya tidak membangkitkan isu berkaitan kaum, agama dan budaya ketika berkempen sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Beliau berkata, sekiranya hasrat Sanusi adalah untuk memperkukuh penyatuan dalam kalangan umat Islam, ia boleh dilakukan tanpa menyentuh sensitiviti kaum lain yang telah sekian lama hidup dalam suasana harmoni di negara ini.
“Saya hendak respons kepada kenyataan Datuk Seri Sanusi. Ucapan beliau mungkin sesuai untuk khalayak di negeri Kedah. Saya tidak berhasrat untuk menasihati beliau.
“Biarpun ada harimau di dada beliau, tetapi yang sangat sesuai keluar daripada kalam beliau hanyalah kambing. Saya tidak mahu timbul interpretasi yang akhirnya meresahkan pelbagai kaum.
“Kalau hasrat beliau adalah untuk melaksanakan penyatuan dalam kalangan ummah, tidak perlu pun menyentuh soal etnik, agama, budaya dan kaum lain di negara ini. Saya yakin dengan kemajmukan rakyat di negara ini. Tidak perlu menyentuh sensitiviti masyarakat lain.
“Kalau mereka berhasrat untuk berkawan, buatlah cara berkawan,” katanya kepada media selepas hadir program ‘Salam Agrikomoditi’ anjuran Kementerian Peladangan dan Komoditi (KPK) di Dataran Melang di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri itu turut meminta Menteri Besar Kedah berkenaan supaya tidak perlu datang berkempen di Negeri Sembilan sepanjang baki enam hari tempoh berkempen menjelang hari pengundian.
“Kalau boleh sehingga hari Sabtu nanti, berbaki enam hari lagi, sangat eloklah beliau tidak perlu datang ke Negeri Sembilan. Biarlah kita uruskan negeri ini dengan cara kita sendiri. Pemimpin-pemimpin yang lain datang itu tidak mengapa,” katanya.
Menurut Zahid, semua pemimpin politik sewajarnya menjaga adab dan etika ketika berkempen dengan memberi tumpuan kepada tawaran serta penyelesaian untuk rakyat, bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan hubungan antara kaum.
Beliau berkata, perbezaan pendapat dalam politik adalah perkara biasa, namun ia perlu diuruskan dengan penuh hikmah dan berlandaskan adab.
“Kita boleh berbeza pendapat, tetapi ada adab untuk menangani perbezaan atau adab mukhtalaf. Ini soal akhlak dan tasawuf politik.
“Tidak perlu merendahkan mana-mana individu atau pemimpin yang pernah memimpin sebelum ini atau sedang memimpin. Apatah lagi jika seseorang itu mempunyai latar belakang pendidikan agama atau mewakili parti yang berasaskan agama,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Zahid berkata, kenyataan Sanusi itu turut menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pemimpin parti komponen BN.
“Ada seorang pemimpin parti komponen kita yang merasa terganggu. Saya fikir tidak perlulah perkara itu dibangkitkan lagi dan dipanjangkan. Kita tutup buku dan hadapi baki hari kempen ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Terdahulu, Sanusi ketika berucap pada kempen PRN Negeri Sembilan dilaporkan mengeluarkan kenyataan ‘Cina ada China, India ada India’, yang mencetuskan kritikan pelbagai pihak kerana didakwa menyentuh sensitiviti kaum, sebelum beliau mempertahankan ucapannya dengan mendakwa ia dipetik di luar konteks.
Semalam, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran turut mengecam kenyataan berkenaan dan menyifatkan pemimpin seperti Sanusi menjadi antara sebab komponen BN lebih rela bergerak secara solo daripada bekerjasama dengan pihak yang mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Beliau menegaskan masyarakat India dan Cina di negara ini adalah rakyat Malaysia yang mempunyai hak sama di sisi Perlembagaan, sambil mengingatkan kenyataan berbaur perkauman hanya akan menyukarkan usaha membina kerjasama politik serta menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk. -MalaysiaGazette
















