Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

SEREMBAN – Tiada sebarang arahan atau larangan dikeluarkan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor daripada terus berkempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kehadiran Sanusi bergantung kepada kelapangan jadualnya sebagai Menteri Besar dan bukannya disebabkan sebarang sekatan daripada kepimpinan gabungan.

Menurutnya, pandangan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan Sanusi tidak sesuai berkempen hanyalah pandangan peribadi yang diambil maklum.

“Itu pandangan daripada beliau sebagai Pengerusi Barisan Nasional. Kita ambil maklum. Saya percaya ia bergantung kepada Datuk Seri Sanusi sama ada beliau dapat datang atau tidak selepas ini.

“Sama seperti saya dan beliau, kami berdua adalah Menteri Besar yang selain berkempen politik masih mempunyai tanggungjawab mentadbir negeri. Kalau beliau dapat datang, beliau datanglah,” katanya pada sidang media di sini malam ini.

Pengerusi Perikatan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menunjukkan risalah manifesto pada Majlis Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kompleks Pas Negeri Sembilan, Ampangan. Foto MOHD ADZLAN, 25 JULAI 2026.

Terdahulu beliau melancarkan Manifesto PN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Kompleks Pas Negeri Sembilan (Kompas).

Mengulas dakwaan bahawa cara Sanusi berkempen boleh menjejaskan sokongan pengundi Melayu dan Cina, Samsuri berkata, perkara yang lebih penting ialah memahami kenyataan sebenar yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah itu.

Beliau berkata, Sanusi sendiri telah memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didakwa memesongkan kenyataannya.

“Datuk Seri Sanusi sudah maklum bahawa beliau akan menyaman mana-mana pihak yang memesongkan perkara yang disebut oleh beliau. Jadi kita tengoklah nanti,” katanya.

Ditanya sama ada Sanusi masih bebas turun berkempen selepas kontroversi berkenaan, Samsuri menegaskan, PN tidak pernah menghalang mana-mana pemimpinnya.

“Kita tidak ada halangan, tidak ada sebarang gag order kepada sesiapa pun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast