KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay adalah satu jenama kepimpinan yang sarat dengan komitmen, ketegasan dan integriti dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, figura kelahiran Kota Setar, Kedah itu membuktikan kewibawaannya dalam pelbagai jawatan kritikal sepanjang perkhidmatan hampir 35 tahun.
“Beliau (Ayob Khan) adalah wajah pemimpin yang mempunyai prinsip yang tidak tergoyah dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.
“Sepanjang lebih 34 tahun mengabdikan diri dalam PDRM, bekas graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini telah membuktikan kewibawaannya dalam pelbagai jawatan kritikal, khususnya Cawangan Khas, menerajui Kontinjen Johor, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Jabatan Siasatan
Jenayah (JSJ), sebelum menamatkan khidmatnya sebagai Timbalan Ketua Polis Negara ke-29,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Majlis itu menyaksikan Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Ibrahim Darus memangku jawatan Timbalan Ketua Polis Negara menggantikan Ayob Khan yang mula bersara wajib esok.
Tambab Mohd Khalid, secara peribadi kehadiran Ayon Khan sebagai timbalannya merupakan satu anugerah atau hanya seorang pembantu kanan.
“Malahan Ayob Khan merupakan rakan sekiblat yang setia berdiri teguh di sisi saya dalam mengharungi badai dan cabaran demi menjulang martabat Sang Saka Biru.
“Saya amat menghargai setiap perkongsian pahit manis dan jerih perih sepanjang kita mengemudi bahtera pasukan ini.
“Ketegasan beliau dalam membanteras anasir militan dan menjaga keutuhan integriti wajar dijadikan suri teladan oleh seluruh kepimpinan pasukan,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















