Calon PH N.27 Rantau, Dr Azizul Hakim Mahdi bercakap ketika ditemubual selepas berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Taman Ekar, Rantau. Foto SADIQ SANI, 23 JULAI 2026.

RANTAU – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr. Azizul Hakim Mahdi memperkenalkan saluran WhatsApp rasmi bagi membolehkan penduduk di kawasan itu berkomunikasi secara terus dengan beliau dan pasukannya.

Menurutnya, beliau yakin dan percaya WhatsApp kini menjadi medium komunikasi utama rakyat dalam menyampaikan segala permasalahan dan isu dihadapi mereka.

Tambahnya, melalui saluran WhatsApp rasmi di talian 010-2791825 itu, penduduk DUN Rantau boleh mengemukakan aduan setempat serta memberikan cadangan untuk membangunkan kawasan Rantau.

Saluran rasmi WhatsApp calon PH DUN Rantau, Dr. Azizul Hakim Mahdi.

Selain itu, katanya, penduduk juga boleh menyemak lokasi dan tempat mengundi; mendapatkan maklumat program, manifesto dan aktiviti kempen serta berhubung terus dengan beliau dan pasukannya menerusi saluran komunikasi itu.

“WhatsApp kini menjadi medium komunikasi utama rakyat.

“Sebagai calon muda, saya percaya wakil rakyat hari ini perlu lebih responsif, mudah dihubungi dan pantas bertindak dalam menangani setiap isu yang dihadapi oleh pengundi DUN Rantau.

“Atas sebab itu, saya memperkenalkan WhatsApp Rasmi Dr Hakim sebagai saluran komunikasi terus antara saya dan rakyat,” katanya.

Tambahnya, bagi golongan anak muda, saluran WhatsApp itu boleh digunakan untuk memberikan cadangan berkaitan peluang pekerjaan, pendidikan, kemudahan sukan, ekonomi digital atau pembangunan belia.

Bagi golongan wanita pula, jelasnya, saluran WhatsApp itu boleh digunakan untuk membangkitkan sebarang isu berkaitan kebajikan keluarga, pendidikan anak-anak, keselamatan kawasan, keusahawanan atau keperluan komuniti.

“Untuk warga emas pula, jika memerlukan bantuan, ingin membuat aduan, bertanyakan hal kebajikan atau menyemak lokasi tempat mengundi, saya dan pasukan sedia membantu,” katanya.

Menurut Dr. Azizul Hakim, beliau percaya seorang wakil rakyat bukan sekadar hadir ketika musim pilihan raya, tetapi perlu sentiasa mendengar, memberi maklum balas dengan cepat dan bertindak menyelesaikan masalah rakyat sebaik mungkin.

“Setiap aduan dan cadangan yang diterima akan diteliti dan disalurkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan sewajarnya,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast