Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap pada Program Kesejahteraan Warga Angkatan Tentera Malaysia di Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED), Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 26 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Kerajaan akan memastikan urusan perolehan aset ketenteraan menerusi pendekatan kerajaan dengan kerajaan (G2G) dilakukan hanya dengan negara yang boleh dipercayai.

Dalam masa sama, menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, negara yang dipilih juga dipastikan sudah bersedia untuk memindahkan teknologi ketenteraan itu kepada Malaysia.

Tambah beliau, ia merupakan antara kriteria yang akan diguna pakai kerajaan dalam memperluaskan pendekatan G2G bagi perolehan aset ketenteraan negara pada masa depan.

“Menerusi pendekatan ini bukan sahaja harga yang kita dapat itu berpatutan, tetapi kita juga boleh dapat jaminan bekalan kerana ada jaminan daripada kerajaan-kerajaan yang kita berurusan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kesejahteraan Warga ATM, Zon Selatan di Padang Institut Kejuruteraan Tentera Darat, Kem Sirusa di sini, hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bergambar kenangan bersama warga ATM pada Program Kesejahteraan Warga Angkatan Tentera Malaysia di Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED), Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 26 JULAI 2026.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, ketika ini, kerajaan sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan dua buah negara iaitu Turkiye dan Korea Selatan bagi perolehan aset ketenteraan secara G2G berkenaan.

Menurutnya, ketika ini juga, beberapa negara lain termasuk Itali dan Perancis turut mengemukakan hasrat untuk menjalin kerjasama menerusi pendekatan sama.

“Kita mengenal pasti projek-projek tertentu yang memang kita akan lakukan secara perolehan kerajaan dengan kerajaan.

“Kalau dahulu menerusi tender, semua syarikat masuk, sama ada syarikat itu OEM (pihak pengeluar peralatan asal) ataupun ejen dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled sekali lagi menegaskan, pendekatan G2G disifatkan lebih telus serta membabitkan tawaran harga yang lebih baik memandangkan tidak melibatkan orang tengah.

“Yang penting aset kententeraan yang kita mahukan itu sama ada melibatkan tentera darat, laut ataupun udara adalah berdasarkan spesifikasi yang kita tetapkan dan kehendaki.

“Bukan bermakna kerajaan beli sesuka hati, tetapi dengan kerjasama perkhidmatan-perkhidmatan yang berkehendakkan kepada peralatan tersebut,” katanya.

Malaysia sebelum ini membuat pendirian untuk meneruskan tindakan saman ke atas pembekal peluru berpandu antikapal (NSM) berpangkalan di Norway berikutan kegagalan syarikat itu menghantar aset pertahanan berkenaan susulan pembatalan lesen eksport oleh kerajaan negara terbabit.

Mohamed Khaled berkata, tindakan itu diteruskan biarpun rakan sejawatannya dari Norway, Tore O Sandvik sudah menyatakan permohonan maaf berhubung keputusan kerajaan negaranya itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast