KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menegaskan persefahaman dan kerjasama politik yang diwujudkan termasuk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak bermaksud parti itu akan menggadaikan prinsip perjuangannya.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, BN tidak akan menerima naratif politik mana-mana pihak dan kekal berdiri atas prinsipnya sendiri.
“BN telah membuktikan selama lebih enam dekad Malaysia mampu dibangunkan atas asas perkongsian kuasa, saling menghormati dan kesederhanaan.
“Selepas hampir tujuh dekad merdeka, politik yang memecah-belahkan rakyat mengikut asal usul kaum tidak mempunyai tempat dalam membina sebuah negara bangsa yang bersatu.
“BN menolak dan tidak akan berkompromi dengan sebarang kenyataan yang menghidupkan sentimen perkauman, mempersoalkan kedudukan mana-mana kaum atau menimbulkan keresahan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Zambry berkata, BN turut menolak politik ketakutan yang sering dimainkan oleh pihak tertentu.
“Taktik menggambarkan kononnya sesuatu kaum akan terancam jika kerjasama politik tertentu memerintah adalah amat bahaya kerana ia hanya menimbulkan rasa curiga dan kebencian.
“Sebaliknya, BN akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, serta hak sah semua kaum,” katanya.
Beliau berkata, pendirian tegas BN ini hadir selepas timbul perdebatan hangat susulan kenyataan Menteri Besar Kedah merangkap Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini.
“BN mahu menjadi kepimpinan yang membina jambatan perpaduan dan bukannya tembok perkauman, demi menawarkan masa depan yang dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.
Muhammad Sanusi sebelum ini mengeluarkan kenyataan yang menyentuh isu perkauman, di mana beliau menyatakan selain orang Melayu kaum lain seperti Cina dan India masing-masing mempunyai negara asal mereka sendiri.
Kenyataan itu mencetuskan rasa kurang senang pelbagai pihak yang menganggapnya sebagai satu cubaan memainkan sentimen kaum dan memecahbelahkan keharmonian rakyat majmuk. – MalaysiaGazette
















