KUALA LUMPUR – “Jangan rosakkan pasukan ini hanya kerana kepentingan diri. Jangan jual maruah kerana wang”.
Itu pesanan terakhir yang ditegaskan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay kepada pasukan keramat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagi Ayob Khan, pasukan PDRM bukan sekadar organisasi kerana tempat itu mengajar erti keberanian, kesetiaan, kehilangan dan pengorbanan sepanjang 35 tahun perkhidmatannya.
“Pasukan ini juga mengajar saya bahawa tidak semua perkara dalam hidup menjadi milik kita untuk selama-lamanya dan akan tiba masanya kita perlu melepaskan.
“Bukan kerana kita tiada hati, tetapi kerana amanah itu perlu diteruskan oleh generasi yang berikutnya. Kepada seluruh warga PDRM, jagalah pasukan ini.
“Jagalah seragam ini. Jagalah nama baik institusi yang telah dibina dengan darah, keringat dan nyawa rakan-rakan kita yang terdahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara yang berlangsung di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalis Ismail.
Terdahulu, majlis itu menyaksikan Ayob Khan secara rasmi menyerahkan jawatan Timbalan Ketua Polis Negara kepada Datuk Seri Ibrahim Darus yang dilantik sebagai pemangku berkuat kuasa hari ini.
Tegas beliau, seluruh warga PDRM perlu terus memelihara nama baik pasukan yang dibina hasil pengorbanan anggota terdahulu tanpa ada penindasan dalam pasukan.
“Jangan gunakan kuasa untuk menindas mereka yang lemah dan jangan sesekali lupa bahawa di sebalik setiap kuasa yang kita miliki, terdapat rakyat yang mengharapkan keadilan,” jelasnya.
Tambah Ayob Khan, integriti perlu dipertahankan kerana ia tidak dinilai ketika seseorang dipuji, sebaliknya ketika tiada sesiapa melihat, selain perlu berpegang pada amanah dan kuasa yang diberikan.
“Ingatlah, manusia mungkin tidak melihat, ketua mungkin tidak mengetahui. Namun, Allah SWT sentiasa melihat. Malaikat Raqib dan Atid sentiasa mencatat.
“Setiap amanah akan dipersoalkan. Setiap kuasa akan dipertanggungjawabkan.
“Pada akhirnya, kita semua akan berdiri di hadapan Allah SWT bukan dengan pangkat atau jawatan, tetapi dengan amal dan perbuatan kita,” tegas beliau. – MalaysiaGazette
















