Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

TAMPIN – Isu berkaitan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji tidak seharusnya dipolitikkan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sebaliknya dilihat secara profesional demi memelihara keyakinan pendeposit.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang laporan pengauditan dan siasatan seharusnya dijadikan asas untuk mencari penyelesaian, bukannya mencetuskan polemik yang boleh menghakis keyakinan pelabur serta pencarum Tabung Haji.

“Saya harap isu ini bukan isu yang dipolitikkan ketika PRN Negeri Sembilan ini dan ia harus dilihat dari segi profesional. Sebarang laporan pengauditan dan laporan siasatan hendaklah menjurus ke arah mencari jalan penyelesaian, bukan mengeruhkan keadaan.

“Kerana keyakinan pelabur, pencarum kepada Tabung Haji semakin meningkat dan ia jangan dirosakkan semata-mata kerana interpretasi yang salah terhadap laporan daripada RCI ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Karnival Hari Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) ceria menyaksikan sukan tarik tali pada Karnival Hari Keluarga ATM Zon Selatan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas. Foto MALAYSIAGAZETTE, 26 JULAI 2026.

Mengulas sama ada mana-mana individu yang dikaitkan dalam laporan RCI boleh dikenakan tindakan, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan menegaskan tiada sesiapa ‘kebal’ di sisi undang-undang sekiranya wujud sebarang kesalahan berdasarkan proses perundangan.

“Tidak ada kekebalan. RCI adalah Suruhanjaya Diraja yang melakukan siasatan dan dapatan daripada siasatan dan kajian itu harus diketahui secara telus.

“Dan selepas itu jika ada sebarang penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, pecah amanah dan lain-lain malpractices, ada prosesnya untuk dibuat laporan polis.

“…siasatan dari segi jenayah perdagangan dan aspek perundangan yang lain, itu boleh dilakukan kemudiannya,”tegasnya.

Ditanya sama ada pembentangan laporan RCI ketika tempoh kempen PRN Negeri Sembilan boleh mempengaruhi sokongan pengundi, Pengerusi BN itu berkata beliau tidak percaya perkara itu akan memberi kesan kepada keputusan rakyat.

“Saya tidak fikir ianya akan ada pengaruh. Saya tahu tujuannya adalah untuk meletakkan dan melemparkan kebencian dan ketidakbolehpercayaan kepada sesebuah gabungan.

“Tetapi rakyat, terutama pengundi-pengundi di Negeri Sembilan ini sangat bijak untuk melakukan penilaian dan di minda serta di hati mereka, mereka tahu calon mana, gabungan mana yang mereka akan undi.

Kalau ada niatnya tidak betul, saya harap niat itu akan dibolak-balikkan hatinya oleh Allah SWT,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast