SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad menyeru semua pengundi awal membuat pertimbangan secara rasional dengan menilai prestasi pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum membuat pilihan.
Menurut beliau, kerajaan negeri di bawah pimpinan Aminuddin telah melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan termasuk meningkatkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM300 berbanding RM200 sebelum ini.
“Saya mohon semua pengundi awal membuat pertimbangan secara rasional dan logik dengan melihat prestasi kerajaan pimpinan Tok Min untuk terus diberikan mandat mentadbir Negeri Sembilan.
“Pelbagai bantuan telah dilaksanakan termasuk peningkatan bantuan khas kewangan daripada RM200 kepada RM300,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas berkempen dari rumah ke rumah di sekitar Taman Desa Rhu, di sini, lewat petang tadi.
Nor Azman yang juga bekas Setiausaha Politik Menteri Besar berharap prestasi pentadbiran kerajaan negeri menjadi asas utama pengundi membuat keputusan pada hari pengundian pada 28 Julai dan 1 Ogos ini.
Ketika ditanya tentang spekulasi kononnya penyertaan Bersatu dalam PRN Negeri Sembilan hanya bertujuan memecahkan undi, beliau berkata setiap parti yang bertanding sudah tentu mempunyai matlamat untuk memenangi kerusi ditandingi.
“Saya yakin setiap parti menghantar calon dengan tujuan untuk menang.
“Saya tidak pasti sama ada tujuan Bersatu bertanding adalah untuk memecahkan undi atau sebaliknya.
“Apa yang pasti, PH menghantar calon untuk memenangi DUN Negeri Sembilan dan membentuk kerajaan negeri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















