KUALA LUMPUR – Gara-gara tersalah memasuki jalan dipercayai menjadi punca sebuah kereta Toyota Corolla terbabas hingga merempuh gerai durian di Jalan Mergastua Kepong Baru di sini, semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superitenden Suffian Abdullah berkata, dalam kejadian sekitar jam 10.25 malam itu, kenderaan terbabit dipandu seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun turut melanggar sebuah kereta Honda City.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk merakam percakapan pemandu, mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, mengesan serta mencari saksi bebas bagi membantu siasatan.
“Susulan itu, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga meminta orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















