ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri mencadangkan penubuhan Dasar Penganjuran Kejohanan Sukan Johor yang bertujuan memastikan aspek keselamatan atlet serta penyokong terjamin, sekali gus mengelak berlakunya kemalangan jiwa.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, langkah itu akan memastikan agar mana-mana pihak penganjur perlu mendapatkan kelulusan persatuan negeri dan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) sebelum program atau kejohanan dianjurkan.
“Ini termasuk sebelum menempah sebarang venue atau gelanggang. Langkah in juga persediaan kita menjelang aspirasi Johor Sport Nation 2030,” katanya.
Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas Perjumpaan Bersama Persatuan-persatuan Sukan Negeri Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Penolong Pesuruhjaya Sukan, Mohd Shafiq Mohd Khan.
Pada perjumpaan tersebut, kesemua Persatuan Sukan Negeri Johor menyokong cadangan tersebut yang menjadi asas Dasar Penganjuran Kejohanan Sukan Johor
Mengulas lanjut, Mohd Hairi berkata, cadangan itu juga akan membolehkan Johor diberikan kuasa pengesahan (sanction) penganjuran kejohanan sukan yang diserahkan secara mutlak kepada persatuan sukan di negeri bagi mengelak isu birokrasi dan kelewatan kelulusan.
Katanya, langkah itu perlu memandangkan kuasa kelulusan ketika ini masih tertumpu di peringkat Presiden Persatuan Sukan Kebangsaan di Kuala Lumpur.
“Penurunan kuasa berkenaan membolehkan pihak persatuan negeri membuat penilaian keselamatan serta memberikan kelulusan penganjuran secara lebih pantas dan bersistem,” katanya.
Pihaknya kini dalam proses melengkapkan kertas kerja dasar berkenaan untuk dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam masa terdekat.
“Kita akan membawa dasar ini ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi menunjukkan kesungguhan dalam menganjurkan Kejohanan sukan mengikut prosedur yang lengkap.
“Antara aspek yang diberi penekanan ialah piawaian keselamatan dan perubatan minimum, perlindungan insurans peserta dan liabiliti awam sebagai syarat kelulusan, perlindungan kanak-kanak, kelayakan pegawai teknikal, tanggungjawab pemilik kemudahan, pemantauan dan penguatkuasaan serta pendidikan dan advokasi,” katanya.
Mohd Hairi menjelaskan, kelulusan pengesahan itu hanya diwajibkan bagi penganjuran kejohanan berskala besar secara terbuka seperti acara sukan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa yang menawarkan hadiah wang tunai serta sewaan venue utama.
Sementara kejohanan di peringkat sekolah, dan sukan komuniti kecil dikecualikan daripada keperluan mendapatkan kebenaran berkenaan, katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan penganjur supaya tidak membelakangkan undang-undang kerana boleh berdepan tindakan tegas.
“Penganjur yang melanggar syarat atau menganjurkan acara tanpa kelulusan boleh dikenakan denda antara RM50,000 hingga RM500,000 mengikut Seksyen 33 dan Seksyen 36 Akta Pembangunan Sukan 1997.
“Pihak persatuan juga berhak membuat laporan polis jika berlaku pelanggaran syarat,” katanya.
Sabtu lalu, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun itu dilaporkan rebah ketika beraksi dalam kejohanan bola sepak sebelum dibawa ke sebuah hospital swasta di Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebelum meninggal dunia.
Susulan itu Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali menggesa supaya rangka kerja keselamatan bola sepak yang sedang dibangunkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dipercepat bagi memastikan kejohanan pada masa depan memenuhi keperluan keselamatan.
Jelasnya, rangka kerja berkenaan perlu diperkenalkan segera bagi menetapkan langkah keselamatan untuk penganjuran kejohanan bola sepak, termasuk acara anjuran pihak swasta.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Mohd Hairi dalam Perjumpaan Bersama Persatuan-persatuan Sukan Negeri Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.
















