Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun menyantuni penduduk sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Taman Green View, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 27 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Kerajaan Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini perlu dipastikan dibentuk oleh sebuah parti politik yang utuh (solid) seperti Pakatan Harapan (PH), bukannya dengan gabungan parti politik berbeza seperti Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (BN).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia bagi memastikan pentadbiran negeri selepas ini dapat berjalan dengan sempurna tanpa berlakunya situasi menarik sokongan yang boleh menyebabkan kerajaan negeri dibubarkan sebelum waktunya.

Menurutnya yang juga calon PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, kemungkinan kerajaan Negeri Sembilan tumbang lebih awal sekiranya BN-PN membentuk kerajaan negeri itu boleh berlaku melihat kepada bibit-bibit perpecahan dan keretakan antara mereka ketika berkempen kini.

Apatah lagi, ujarnya yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, BN sendiri mempunyai pengalaman menarik diri daripada kerjasama dengan PH tanpa diketahui alasan dan puncanya sehingga menyebabkan PRN perlu diadakan.

Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun bercakap ketika ditemubual semasa menyantuni penduduk sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Taman Green View, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 27 JULAI 2026.

“Hari ini, BN cuba pula berkawan dengan Pas dan Wawasan, walaupun kerjasama itu tidak ditunjukkan secara rasmi, tetapi understanding itu rakyat boleh nampak.

“Tapi itu pun dalam kempen ketika ini kita nampak adanya percanggahan antara mereka.

“Itu memberikan petunjuk supaya rakyat berfikir, kalau beginilah iaitu ketika mereka belum pun memerintah tetapi sudah ada percanggahan yang besar.

“Bayangkan kalau kita beri mereka kuasa, berapa lama kerajaan ini (BN-PN) boleh bertahan?

“Jadi saya serahkan kepada rakyat untuk membuat perimbangan dan penilaian,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan ditemui MalaysiaGazette ketika berkempen bertemu penduduk di sekitar taman perumahan Green View, Linggi, di sini hari ini.

Sementara itu, Aminuddin turut mengingatkan PN yang mana BN boleh bertindak meninggalkan kerjasama politik antara mereka pada masa depan tanpa memerlukan alasan munasabah.

Katanya, itu adalah pengalaman yang dilalui PH dalam pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini yang mana tidak pernah timbul isu percanggahan atau pentadbiran yang memaksa BN meninggalkan Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan.

“Tidak ada isu DAP pun disebut ketika sama-sama dalam pentadbiran kerajaan negeri dulu.

“Tidak ada pun rasa tak puas hati mereka kepada DAP.

“Tapi ketika berkempen hari ini, watak mereka berubah apabila mereka berkawan dengan Pas.

“Mereka menyalahkan DAP hari ini, dan saya nampak suara orang UMNO lebih lantang menyalahkan DAP. Tapi itu pilihan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Aminuddin sekali lagi menegaskan betapa pentingnya rakyat Negeri Sembilan memastikan kerajaan negeri pada 1 Ogos ini dibentuk oleh parti tunggal seperti PH, bukannya oleh gabungan mana-mana parti.

“Kita perlukan kerajaan yang stabil untuk memastikan negeri ini dalam keadaan yang boleh kita bangunkan tanpa ada risiko yang menyebabkan berlaku lagi pilihan raya lebih awal.

“Jadi saya berharap kepada rakyat Negeri Sembilan, Pakatan Harapan telahpun buktikan dengan cara kita mentadbir dan perkhidmatan kita kepada mereka.

“Jadi, saya menyeru kepada mereka untuk beri sekali lagi peluang kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk terus mentadbir negeri ini dengan kerajaan yang stabil, teguh dan diyakini,” katanya. – MalaysiGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast