KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Chow Kon Yeow menegaskan sesebuah kerajaan perlu dan wajar diberi tempoh masa lebih panjang untuk memerintah bagi memastikan perubahan ke arah pembangunan lebih baik dapat dilaksanakan demi kebajikan rakyat.
Mengambil contoh di Pulau Pinang, beliau yang juga Ketua Menterinya berkata, setelah 18 tahun, negeri itu kini memperlihatkan pencapaian yang baik dalam aspek pelaburan, ekonomi dan pembangunan sosial.
Ujarnya, dalam sentimen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung sebelum ini, dan kini di Negeri Sembilan, ada kekecewaaan dalam kalangan rakyat yang berharap Kerajaan Persekutuan dapat membawa perubahan dalam tempoh singkat iaitu tiga tahun.
Hakikatnya, ujar beliau, sesebuah kerajaan memerlukan tempoh yang lebih lama bagi membawa lebih banyak perubahan sebagaimana diamanahkan.
“Justeru, kita jangan biarkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menggunakan kemenangan-kemenangan di PRN untuk mengambil alih Kerajaan Persekutuan,” katanya menerusi Facebook malam tadi.

Terdahulu, Kon Yeow turut menyampaikan ceramah pada Majlis Makan Malam Pakatan Harapan Lukut Gemilang di sini, malam tadi.
Tambah Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, setelah 18 tahun memerintah, Pulau Pinang memahami cabaran dalam menerajui sebuah kerajaan negeri.
Katanya, dalam tempoh 18 tahun itu juga, Pulau Pinang tidak pernah berhenti bagi membawa perubahan yang lebih baik kepada penduduknya.
Malah, ujar beliau, melihat kepada pencapaian negeri-negeri PH sehingga kini termasuk di Negeri Sembilan, semuanya memperlihatkan pencapaian di kedudukan ketiga atau kelima terbaik.
“Justeru, pada 1 Ogos ini, keluarlah mengundi. Setiap undi bakal membawa kemenangan kepada Pakatan Harapan dan Kekalkan Harapan di Negeri Sembilan,” katanya. – MalaysiaGazette
















