PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) dan PKR tidak perlu berlumba membuktikan mereka lebih Melayu daripada UMNO atau Bersatu, mahupun lebih Islam daripada Pas kerana politik identiti hanya mengalih perhatian daripada masalah sebenar rakyat seperti kemiskinan dan penyalahgunaan dadah, kata Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut beliau, persaingan berasaskan kaum dan agama merupakan “zero-sum game” yang tidak menghasilkan pemenang.
Malah, parti politik seharusnya dinilai berdasarkan prestasi pentadbiran dan keupayaan menyelesaikan isu rakyat.
“Kita sudah 69 tahun merdeka. Tiba-tiba kita masih lagi nak bertarung dengan tajuk lama. Pada saya, politik seperti itu ialah politik yang destruktif.
“Tak mungkin saya dan PKR boleh mengaku kami lebih Melayu daripada UMNO atau Bersatu. Ataupun saya nak kata saya lebih Islam daripada Pas.
“Jadi siapa menang? Ia ‘zero-sum game’,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Himpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.
Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pihak yang terus memainkan sentimen identiti tidak akan membantu menyelesaikan masalah yang sedang membelenggu rakyat.
Sebaliknya, kata beliau, ahli politik perlu bersaing menerusi politik prestasi kerana pendekatan itu membolehkan rakyat menilai kemampuan sesebuah kerajaan dalam menangani pelbagai cabaran semasa.
“Kalau kita bawa kepada tajuk politik prestasi, rakyat akan dapat keadilan. Negeri mana paling miskin? Kalau ikut statistik, ada negeri yang paling miskin. Negeri miskin ini juga dikaitkan dengan insiden dadah paling tinggi per 100,000 penduduk.
“Dalam keadaan begitu, kita hanya bercakap tentang politik identiti… Melayu, Cina, India. Sebab apa? Sebab tak ada masa untuk rakyat semak politik prestasi,” katanya.
Saifuddin menegaskan, ancaman sebenar terhadap orang Melayu bukanlah perdebatan mengenai identiti, sebaliknya kegagalan menangani kemiskinan yang terus menekan kehidupan masyarakat.
“Kalau nak bercakap tentang Islam dan Melayu terancam, Melayu terancam apabila kemiskinan bermaharajalela,” katanya. – MalaysiaGazette
















