JOHOR BAHRU – Cubaan seorang tukang gunting rambut menyelit di tengah jalan gagal apabila mengakibatkan isterinya maut dalam kemalangan empat kenderaan di Kilometer 2 Jalan Skudai, Pantai Lido di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, kemalangan itu berlaku pukul 7.50 petang melibatkan tiga motosikal jenis Yamaha 135LC, Yamaha Y125 dan Yamaha Y125ZR serta sebuah kereta.
“Kemalangan itu berlaku menghala ke arah Skudai apabila Yamaha 135LC ditunggang tukang gunting, 25, dan dibonceng isterinya, 25, yang bekerja sebagai operator kilang bergerak dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) membuat pusingan U ke Skudai.
“Apabila tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang tukang gunting tersebut cuba untuk menyelit di antara kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tiba-tiba motosikal pasangan suami isteri tersebut dilanggar dari belakang oleh Yamaha Y125 ditunggang seorang lelaki tempatan berumur 23 tahun.
Katanya, pelanggaran tersebut menyebabkan motosikal pasangan berkenaan hilang kawalan sehingga terbabas ke lorong kiri sebelum isterinya terjatuh di tengah jalan dan suami pula berguling ke bahu kiri jalan.
Pada masa sama katanya, sebuah motosikal ditunggang lelaki tempatan berumur 24 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan bersama-sama tunangnya iaitu pembonceng berumur 22 tahun bekerja sebagai operator kilang tidak sempat mengelak.
Motosikal ditunggang pengawal keselamatan itu katanya, terbabas dan melanggar pula sebuah kereta dipandu oleh seorang wanita tempatan berumur 28 tahun yang juga bekerja sebagai operator kilang.
“Akibat kejadian itu, pembonceng iaitu isteri tukang gunting mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai pembantu perubatan yang hadir,” katanya.
Jelasnya, mangsa dibawa ke Unit Forensik HSA untuk proses bedah siasat manakala penunggang Yamaha 135LC dan penunggang Yamaha Y125 serta pembonceng Yamaha Y125ZR cedera di muka, tangan kanan dan kiri luka serta kaki kanan dan kiri luka.
“Mereka menerima rawatan di Zon Kuning HSA manakala penunggang Yamaha Y125zr pula mengalami kecederaan di bahagian muka, tangan kanan dan kiri luka serta kaki kanan luka menerima rawatan di Zon Merah HSA,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan.
Mereka juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Dayang Aziemah Awang Sabeli 017-3064779 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette
















