Muhammad Sufian atau lebih dikenali sebagai Ustaz Sufian

SERI MENANTI – Kebajikan rakyat akan terus menjadi keutamaan sekiranya diberi mandat sekali lagi mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, kata calon Barisan Nasional (BN), Muhammad Sufian Maradzi.

Muhammad Sufian atau lebih dikenali sebagai Ustaz Sufian berkata, sepanjang tempoh berkempen beliau menerima pelbagai aduan daripada penduduk, namun isu paling kerap dibangkitkan ialah melibatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang didakwa tidak lagi diterima oleh sebahagian penerima walaupun masih memerlukan.

Menurut penyandang DUN Seri Menanti itu, terdapat keluarga yang memaklumkan mereka sebelum ini menerima bantuan kebajikan, namun permohonan mereka tidak lagi diluluskan selepas penilaian semula dibuat.

Antara alasan yang diberikan ialah pendapatan anak dianggap mencukupi untuk menyara ibu bapa, sedangkan realiti kehidupan menunjukkan pendapatan tersebut masih tidak mampu menampung keperluan seluruh isi rumah.

“Ramai yang mengadu kepada saya. Tahun lepas mereka menerima bantuan, tetapi tahun ini sudah tidak lagi. Ada yang diberitahu anak mereka bekerja dan mempunyai pendapatan, namun apabila kita lihat keadaan sebenar, keluarga itu masih memerlukan bantuan.

“Sebab itu saya berpendapat pegawai JKM perlu turun semula ke rumah pemohon bagi melihat sendiri keadaan mereka sebelum sesuatu keputusan dibuat. Penilaian tidak boleh hanya berdasarkan angka atau rekod semata-mata,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas selepas sesi walkabout di sini petang ini.

Calon BN Dun Seri Menanti

Jelasnya, mekanisme penilaian sedia ada juga perlu diperhalusi supaya tidak menyukarkan golongan yang benar-benar layak menerima bantuan kerajaan.

Mengulas perkembangan kempen yang kini memasuki lima hari terakhir sebelum hari pengundian, Muhammad Sufian berkata, momentum BN di Seri Menanti semakin positif dengan sambutan yang memberangsangkan daripada pengundi di seluruh kawasan.

Namun katanya, sokongan yang diterima bukan alasan untuk berasa selesa, sebaliknya beliau mahu terus mendengar denyut nadi rakyat bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan dapat diberikan perhatian sewajarnya.

Selain kebajikan, beliau berkata, pendidikan akan terus menjadi antara agenda utama kerana yakin ia merupakan asas penting dalam mengubah masa depan anak-anak, khususnya di kawasan luar bandar.

Menurutnya, peluang mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga perlu diperluaskan bagi memberi laluan kepada golongan belia memperoleh kemahiran dan pekerjaan yang lebih baik.

Pada masa sama, beliau beriltizam memperkukuhkan program pembangunan ilmu melalui institusi masjid dan surau sebagai usaha membina masyarakat yang seimbang dari segi pembangunan rohani, sahsiah dan ilmu.

Dalam aspek pembangunan infrastruktur, Muhammad Sufian berkata, isu gangguan bekalan air yang sering berlaku di Seri Menanti perlu diberikan perhatian segera kerana ia merupakan antara rungutan utama penduduk.

Katanya, usaha perlu dipertingkatkan bagi mengurangkan kekerapan gangguan bekalan air supaya kehidupan harian masyarakat tidak terus terjejas.

Beliau turut melihat Seri Menanti mempunyai potensi besar untuk terus dibangunkan melalui sektor pelancongan berasaskan warisan Bandar Diraja dan Adat Perpatih.

Selain itu, memperkasakan agro pelancongan melibatkan kawasan jelapang padi dari gugusan Ulu Bendul hingga Tanjung serta produk tempatan seperti udang galah.

“Seri Menanti mempunyai identiti dan keistimewaan tersendiri. Potensi ini perlu dimanfaatkan bagi mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk tanpa mengabaikan nilai warisan yang menjadi kebanggaan masyarakat di sini,” ujarnya.

DUN Seri Menanti mempunyai komposisi pengundi sekitar 92 peratus Melayu, hampir lima peratus orang asli, dua peratus Cina manakala selebihnya terdiri daripada kaum lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast