Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun bercakap ketika ditemubual semasa menyantuni penduduk sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Taman Green View, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 27 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun merayu para pengundi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 esok, membuat pilihan tepat dengan memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang juga calon PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi turut berharap para pengundi itu dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai pemilih esok lebih awal.

“Saya mohon kepada semua pengundi-pengundi awal, untuk memberi sokongan kepada Pakatan Harapan.

“Saya juga berharap mereka dapat keluar mengundi, pastikan semua dapat turun untuk mengundi di kem-kem (dan balai polis) yang telah disediakan, dan jangan lupa untuk mengundi Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan ditemui MalaysiaGazette ketika berkempen bertemu penduduk di sekitar taman perumahan Green View, Linggi, di sini hari ini.

Seramai 22,339 anggota keselamatan dan pasangan masing-masing akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada PRN Negeri Sembilan ke-16 esok.

Jumlah itu membabitkan 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis dan pasangan.

Proses pengundian akan berlangsung di 38 pusat mengundi awal di seluruh negeri yang dibuka serentak pada 8 pagi, manakala waktu penutupan ditetapkan secara berperingkat mengikut lokasi.

Sementara itu, Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau telah bertemu sebahagian besar daripada 20,000 pengundi DUN Linggi ketika tempoh kempen bagi PRN Negeri Sembilan ke-16 berbaki beberapa hari sahaja lagi.

“Kalau nak jumpa semua pengundi mungkin tak dapat, tapi sebahagian besar mereka sudah saya jumpa. Insya-Allah, saya yakin bahawa akan ada perubahan (sokongan pengundi kepada PH),” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, beliau dari semasa ke semasa turut mengubah strategi berkempen apatah lagi pada hari-hari terakhir menjelang hari pengundian pada 1 Ogos ini.

“Kita dari semasa ke semasa akan mengubah strategi berkempen, kerana pendekatan untuk bertemu kesemua pengundi itu agak terhad, jadi kita akan tetap pastikan maklumat dan manifesto kita sampai kepada masyarakat di kawasan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast