Seorang wanita warga asing diragut seorang lelaki yang menunggang motosikal dalam kejadian di Bandar Putra IOI, Segamat semalam.

SEGAMAT – Seorang wanita warga asing diragut seorang lelaki yang menunggang motosikal dalam kejadian di Bandar Putra IOI di sini semalam.

Video kejadian tersebut tular dalam media sosial sebelum menarik perhatian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat hari ini.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, video tersebut memaparkan kejadian ragut di hadapan sebuah rumah di bandar itu.

“Susulan penularan video tersebut, mangsa yang merupakan seorang wanita warganegara asing hadir ke IPD Segamat untuk membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

“Siasatan awal mendapati semasa berada di hadapan rumahnya, mangsa didatangi oleh suspek iaitu seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, suspek kemudian bertindak meragut beg tangan milik mangsa sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.

Katanya, beg tangan tersebut mengandungi beberapa dokumen penting, dua buah telefon bimbit iaitu iPhone 13 Pro Max dan Samsung serta wang tunai RM300.

Susulan itu katanya, pihak polis membuka satu kertas siasatan bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan iaitu rompak.

Jika sabit kesalahan kata beliau, perlu dihukum penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Pihaknya sedang giat menjalankan usaha mengesan dan menangkap suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Segamat talian hotline 07-9324222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast