SEREMBAN – Calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Zool Amali Hussin tampil dengan manifesto mengandungi 21 janji di bawah tujuh teras utama bagi menjadikan kawasan itu lebih maju, beradat dan sejahtera.

Manifesto berkenaan membawa visi menjadikan Lenggeng sebagai daerah pilihan yang maju, beradat, sejahtera, berekonomi kuat serta dihuni keluarga yang harmoni.

Anak jati Lenggeng itu berkata, tujuh teras utama yang digariskan ialah infrastruktur rakyat yang selesa; kerja dan kemahiran anak muda; ekonomi rakyat berputar di Lenggeng; budaya dan warisan hidup; pemerkasaan kampung orang asli; membina masua majmuk sebagai kelua dan kebajikan komuniti sejahtera.

Bagi teras infrastruktur, Zool Amali menawarkan usaha membaiki jalan dan lampu di semua kampung tanpa terkecuali, menyediakan internet percuma di pusat komuniti dan kampung serta menaik taraf padang bola Kampung Panchor dan Kampung Sungai Jai sebagai mini stadium.

Dalam teras kerja dan kemahiran anak muda pula, beliau mencadangkan pembinaan Pusat TVET Lenggeng bagi melatih anak muda dalam bidang kemahiran IKS, pertanian dan digital, selain Pusat Kerjaya Lenggeng untuk membantu padanan pekerjaan dan menyediakan sokongan modal perniagaan.

“Bagi menggerakkan ekonomi rakyat, manifesto ini turut menawarkan penubuhan Pusat Industri IKS Lenggeng bagi membantu pengusaha tempatan menghasilkan, membungkus dan membekalkan produk seperti kerepek, kuih serta kraftangan ke Kuala Lumpur.

“Turut diberi perhatian ialah sektor pertanian menerusi cadangan penubuhan Hub Pertanian Lenggeng bersama FAMA, selain projek ‘Lembah Durian Lenggeng’ yang menghubungkan Broga, Ulu Beranang dan Kampung Orang Asli Jeram Kedah untuk menjadikan kawasan berkenaan sebagai jenama durian utama Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam aspek budaya dan warisan, manifesto itu mencadangkan pembinaan Muzium Adat dan Pusat Kebudayaan Lenggeng yang menghimpunkan empat kaum, selain gelanggang silat dan pusat latihan khat serta menghidupkan semula seni tradisional seperti randai, caklempong, tarian piring, tarian singa dan kolattam.

Zool Amali turut menegaskan manifesto berkenaan bukan sekadar janji politik, sebaliknya amanah kepada anak jati Lenggeng dengan slogan “Bila kita bersatu sebagai keluarga Lenggeng, insya-Allah Lenggeng akan maju, beradat dan sejahtera”.

“Manifesto ini turut mengangkat pendekatan “Mendengar Aspirasi Rakyat, Bekerja Dengan Amanah, Membela Tanpa Batas dan Membangun Bersama Kita” sebagai asas tawaran Bersatu kepada pengundi Lenggeng,” katanya lagi.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast